'Tengah fikir apa tu bang?'


  • Tular
  • Isnin, 11 Okt 2021

TANGKAP layar memaparkan lelaki berkenaan bertindak melintas jalan secara melulu sebelum bertembung dengan sebuah kereta sebelum tular di media sosial pada Isnin. — Facebook

ENTAH apa yang bermain di fikirannya ketika itu?

Ini mungkin yang menjadi persoalan selepas menyaksikan satu rakaman video insiden perlanggaran antara sebuah kenderaan dan pejalan kaki.

Video kejadian yang dimuat naik Hakimi Hazizan di Facebook tular pada Isnin hingga menarik perhatian netizen yang seakan hairan dengan apa yang dilakukan pejalan kaki berkenaan.

“Orang langgar kereta. Mangsa calar ringan di lengan. Nasi mangsa berterabur. Hati-hati ketika melintas jalan raya,” kata Hakimi Hazizan menerusi ruangan kapsyen.

Menerusi video berdurasi 22 saat itu menunjukkan sebuah kenderaan yang melakukan rakaman sedang mengekori kereta berwarna putih.

Bagaimanapun, sejurus tiba di depan papan tanda Klinik Kesihatan Changkat Jering, kelibat seorang lelaki berbaju hijau gelap dan bertopi tiba-tiba muncul dan melulu untuk melintas jalan.

Disebabkan jarak yang terlalu dekat, kenderaan itu gagal mengelak dan melanggar pejalan kaki itu hingga melambung.

“Allahuakbar, Ya ALLAH. Hang lintas tengok lagu mana,” menurut suara dalam video yang dapat didengari selepas kejadian.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan keadaan dan tahap kecederaan yang dialami pejalan kaki berkenaan.

Belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu. — Majoriti

jalan raya, Facebook, tular