DUA seteru Asia Barat, Arab Saudi dan Iran sudah menunjukkan tanda-tanda hubungan yang baik, tetapi pakar menyatakan banyak lagi yang perlu dilakukan untuk meredakan perselisihan sejak lima tahun lalu.
Arab Saudi, yang berhaluan Sunni, dan Iran yang majoritinya Syiah, memutuskan hubungan pada 2016 selepas penunjuk perasaan menyerang misi diplomatik Arab Saudi di Iran berikutan tindakan kerajaan Arab Saudi menjatuhkan hukuman ke atas seorang ulama Syiah.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pegawai dari kedua-dua negara, yang sentiasa bertelagah dalam konflik di Asia Barat, mengeluarkan kata-kata positif mengenai rundingan penting yang diadakan di Baghdad sejak April.
Perbincangan itu dimulakan oleh bekas presiden Iran, Hassan Rouhani dan diteruskan oleh penggantinya, Ebrahim Raisi.
Seorang diplomat asing di Arab Saudi yang tahu tentang proses rundingan itu berkata, kedua-dua pihak "hampir bersedia... untuk meredakan ketegangan antara mereka dan perang proksi (diplomatik) di rantau ini" semasa pusingan terakhir perbincangan.
Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan mengesahkan pusingan keempat rundingan berlangsung pada September, dan menzahirkan harapan agar mereka dapat 'meletakkan asas' untuk mengatasi masalah antara kedua-dua negara.
Rakan sejawatnya dari Iran, Hossein Amir-Abdollahian, berkata perbincangan itu berada di landasan yang betul.
"Kami sudah mencapai hasil dan persetujuan, tetapi kami masih memerlukan lebih banyak dialog," katanya awal bulan ini.
Diplomat asing itu berkata, kedua-dua pihak "berkemungkinan besar akan memperhalusi perjanjian" dalam pusingan baru rundingan yang mungkin dilakukan dalam beberapa hari.
"Mereka, pada dasarnya, sudah mencapai kesepakatan untuk membuka kembali konsulat... dan saya rasa pengumuman untuk hubungan yang baik semula mungkin akan datang dalam beberapa minggu akan datang," kata diplomat itu yang enggan namanya didedahkan. — AFP