Pendatang haram Yahudi musnah kubur pejuang mati syahid


  • Benua
  • Selasa, 12 Okt 2021

KUBUR yang dimusnahkan adalah milik umat Islam yang mati syahid dalam konflik pada tahun 1948 dan 1967. — AFP

PENDUDUK haram Israel bertindak biadab apabila memusnahkan salah satu kubur lama milik orang Islam pada Isnin, di Baitulmaqdis yang diduduki.

Penjaga kubur,Mustafa Abu Zahra berkata, Majlis Perbandaran Baitulmaqdis yang dikendali negara penjajah Israel itu memusnahkan kubur dekat Tanah Perkuburan al-Yousifieh, menggunakan jentolak dan mengakibatkan tulang-tulang manusia berselerak.

Mustafa berkata, kubur-kubur yang dimusnahkan adalah milik umat Islam yang mati syahid dalam konflik pada tahun 1948 dan 1967.

Beliau menegaskan, Israel akan berdepan tindakan undang-undang sebagai akibat daripada perbuatan itu.

Katanya, penduduk Palestin yang berada di lokasi kejadian cuba menghalang jentolak daripada memusnahkan lebih banyak kubur, selain mengusirnya keluar dari kawasan itu.

Pada masa sama, Mustafa menyeru penduduk Baitulmaqdis bersatu untuk melindungi mercu tanda wilayah itu daripada ditindas oleh negara haram Israel.

Tanah perkuburan terbabit yang terletak di sebelah tembok yang mengelilingi Kota Lama menempatkan salah satu kubur umat Islam tertua di Baitulmaqis yang diduduki dan berukuran kira-kira 4,000 meter persegi.

Pemusnahan kubur itu adalah sebahagian daripada rancangan jahat Israel untuk membina sebuah taman yang menempatkan kubur tentera tidak dikenali, kubur kuno serta moden.

Tindakan itu menaikkan kemarahan kebanyakan penduduk Baitulmaqdis Timur, yang memiliki orang-orang tersayang dikebumikan di kawasan itu. — Agensi

kubur lama, Palestin, Israel