Taliban hantar pengiring jaga NGO Malaysia


  • Primer
  • Isnin, 11 Okt 2021

JAMINAN keselamatan diharap dapat menyakinkan lebih banyak NGO antarabangsa untuk turut serta dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat di Afghanistan. — MVM/INSTAGRAM
KERAJAAN interim Taliban di Afghanistan memberikan jaminan keselamatan pasukan misi kemanusiaan dari Malaysia untuk menjalankan kerja-kerja bantuan kemanusian di negara itu, kata Penasihat Khas kepada Menteri Luar mengenai hal ehwal Afghanistan, Datuk Ahmad Azam Ab Rahman.

Menurutnya, pihak kerajaan Taliban juga bersetuju untuk menghantar pengiring bagi menjaga keselamatan pasukan badan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia.

"Kita sudah mendapat jaminan keselamatan daripada pihak kerajaan Afghanistan. Bila diperlukan, panggil dan dia akan hantar tentera untuk bersama-sama dengan kita terutamanya di kawasan-kawasan sensitif.

"Namun, kita tidak boleh menolak kemungkinan ada berlakunya bom di sana sini. Sekurang-kurangnya jaminan telah diberikan dan kita kena berhati-hati,” katanya.

Ahmad Azam berkata, jaminan keselamatan yang diberikan kerajaan Afghanistan itu juga diharap dapat menyakinkan lebih banyak NGO antarabangsa untuk turut serta dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat di Afghanistan.

Buat masa ini, enam orang daripada pasukan misi kemanusiaan Global Peace Mission Malaysia (GPM) dan Muslim Volunteer Malaysia (MVM) berada di Kabul sejak 24 September untuk memberikan bantuan kepada rakyat Afghanistan yang terkesan.

Ahmad Azam yang juga Pengerusi GPM berkata, badan itu juga akan mengadakan satu taklimat pada Rabu ini di Anjung Rahmat Sungai Merab untuk memberi penerangan mengenai situasi semasa di negara itu kepada NGO-NGO yang berminat untuk melakukan misi kemanusiaan di Afghanistan.

"Rakyat Afghanistan sangat memerlukan bantuan kemanusiaan bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup. Keadaan dijangka lebih kritikal menjelang musim sejuk pada Disember.

"Kita galak NGO-NGO Malaysia sama-sama mengembleng tenaga untuk bantu rakyat Afghanistan. Kita harap bantuan dari Malaysia dapat meringankan beban dan jalin goodwill dengan penduduk Afghanistan.

"Sekarang yang penting bagi mereka di sana adalah makanan. Ramai yang kehilangan kerja dan sekarang kita boleh melihat di Kabul ramai yang menjual barangan mereka seperti perabot dan apa saja yang boleh dijual,” katanya.

Ahmad Azam yang juga Pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dilantik sebagai penasihat khas kepada Menteri Luar mengenai hal ehwal Afghanistan baru-baru ini bagi membantu mempermudah misi bantuan kemanusiaan NGO Malaysia ke Afghanistan.

Afghanistan terus bergolak berikutan tentera Taliban menumbangkan kerajaan Ashraf Gani susulan pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negara itu selepas 20 tahun pada pertengahan Ogos lepas.

Kerajaan Malaysia masih menunggu dan melihat perkembangan sebelum mengiktiraf kerajaan baharu Afghanistan. — Bernama