Daesh mengaku dalang serangan pengeboman masjid


  • Benua
  • Sabtu, 09 Okt 2021

TENTERA Taliban menyiasat lokasi pengeboman bunuh diri di sebuah masjid di Kunduz, Afghanistan pada Jumaat. — AFP
KUMPULAN pengganas Daesh mengaku bertanggungjawab dalam insiden pengeboman bunuh diri yang mengorbankan 46 orang di sebuah masjid dihadiri jemaah fahaman Syiah di Kunduz, Afghanistan pada Jumaat.

Menurut kenyataan Daesh menerusi aplikasi Telegram pada Sabtu, pengebom berkenaan merupakan seorang lelaki etnik Muslim Uighur di China yang dikenali sebagai 'Muhammad al-Uyguri'.

Tambah kenyataan tersebut, penyerang meletupkan bahan letupan yang dipasang pada jaket dipakainya di dalam masjid itu.

Sementara itu, seorang saksi mendakwa terdapat kira-kira 400 jemaah berada di dalam masjid ketika serangan sewaktu solat Jumaat.

Daesh turut menjelaskan etnik Uighur adalah kelompok minoriti yang mahu diusir oleh Taliban dari Afghanistan.

Insiden pengeboman itu merupakan yang terburuk semenjak tentera Amerika Syarikat (AS) meninggalkan Afghanistan pada akhir Ogos lalu.

Dalam pada itu, Ketua Keselamatan Kunduz, Mulawi Dost Muhammad mendakwa, penyerang cuba menimbulkan ketegangan di antara penganut syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah sambil menegaskan tiada konflik di antara Taliban dengan penduduk minoriti.

"Kami akan memastikan tahap keselamatan kepada saudara Syiah pada masa depan dan serangan seperti ini tidak akan berulang," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Penerangan dan Kebudayaan Kunduz, Matiullah Rouhani berkata, letupan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 46 nyawa manakala 143 yang lain cedera. — Agensi

Afghanistan, Kunduz, letupan, masjid, Daesh