PASUKAN pembangunan bola sepak wanita Afghanistan yang sebelum ini terpaksa melarikan diri kini dibenarkan berpindah ke United Kingdom.
Ogos lalu, seramai 35 pemain berusia 13 hingga 19 tahun melarikan diri ke Pakistan bersama keluarga serta barisan kejurulatihan.
Di Pakistan, kesemuanya diberikan visa kecemasan dan ia dijadualkan berakhir pada Isnin.
Sepanjang berada di Pakistan, pasukan ini mendapat sokongan kewangan daripada Yayasan ROKiT dan turut ditawarkan bantuan pendidikan dan perumahan oleh pemilik Leed United, Andrea Radrizzani.
“Kami bekerja untuk menyelesaikan visa kepada pasukan pembangunan wanita Afghanistan dan berharap dapat menerima kedatangan mereka,” kata jurucakap kerajaan UK.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan ROKiT, Siu-Anne Marie Gill berkata, pihaknya melihat berita ini sebagai sesuatu yang mengujakan.
“Ia berita yang hebat dan kami berterima kasih kepada Perdana Menteri, Boris Johnson dan Setiausaha Dalam Negeri, Priti Patel atas keputusan ini," katanya.
Pasukan senior sudah pun berada di bawah perlindungan di Australia manakala skuad junior dibenarkan berpindah ke Portugal. — Agensi