AS, Taliban adakan rundingan bersemuka di Qatar


  • Benua
  • Sabtu, 09 Okt 2021

PENGASAS bersama Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar (tengah) ketika menghadiri persidangan damai Afghanistan di Moscow, Rusia Mac lalu. — Reuters
AMERIKA Syarikat (AS) dan Taliban akan mengadakan rundingan secara bersemuka yang pertama sejak pengunduran tentera AS dari Afghanistan pada Ogos.

Jurucakap Jabatan Negara AS berkata, delegasi AS akan mengadakan pertemuan dengan wakil kanan pemerintah Taliban di Doha, Qatar yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu dan Ahad.

Walaupun telah menarik diri dari Afghanistan, Amerika Syarikat tetap berhubung dengan Taliban sejak mereka berjaya menawan Kabul tetapi pertemuan itu akan menjadi yang pertama diadakan secara bersemuka.

"Kami akan menggesa Taliban supaya menghormati hak semua warga Afghanistan, termasuk wanita dan anak gadis serta membentuk pemerintahan yang inklusif dengan sokongan luar.

"Ketika Afghanistan menghadapi kemungkinan penguncupan ekonomi yang teruk dan krisis kemanusiaan, kami juga akan menekan Taliban untuk memberi agensi kemanusiaan akses kepada kawasan yang memerlukan bantuan," kata jurucakap itu pada Jumaat.

Bagaimanapun, tegasnya, pertemuan itu tidak menandakan bahawa Amerika Syarikat mengiktiraf pemerintahan Taliban di Afghanistan.

"Kami dengan jelas memberitahu bahawa apa-apa pengiktirafan harus diperoleh daripada tindakan Taliban itu sendiri," kata jurucakap itu lagi.

Delegasi AS juga akan membangkitkan keutamaan Presiden Joe Biden untuk memastikan warga dan sekutunya di Afghanistan dibenarkan meninggalkan negara itu.

Pegawai rasmi AS berkata, Taliban memberi kerjasama baik untuk membenarkan kira-kira 100 warganya yang belum dapat meninggalkan Afghanistan untuk pulang.

Bagaimanapun, jurucakap itu tidak menyatakan siapa yang akan mewakili kedua-dua belah pihak dalam rundingan tersebut.

Ogos lalu, pegawai kanan AS termasuk Ketua Turus Tentera AS, Jeneral Frank McKenzie bertemu dengan pemimpin Taliban di Kabul ketika tentera AS mengambil alih lapangan terbang untuk mengaturkan penerbangan pulang warganya. — AFP