Rentas negeri: Kerajaan kotakan janji, kini disiplin rakyat jadi penentu


  • Massa
  • Isnin, 11 Okt 2021

ORANG ramai menonton pengumuman khas Perdana Menteri tentang kebenaran rentas negeri. — Bernama

KERAJAAN telah mengotakan janji untuk membenarkan pergerakan rentas negeri, kini rakyat perlu memainkan peranan meningkatkan kawalan kendiri selain memastikan tanggungjawab terhadap komuniti diperkasakan, kata pakar kesihatan.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata meskipun tiada lagi had pergerakan, beliau mengingatkan orang ramai untuk merancang perjalanan dan tidak berpusu-pusu sehingga boleh menyebabkan kesesakan di tempat awam.

"Tahniah kepada kerajaan dan rakyat, tapi macam mana pun tetap kena teruskan SOP yang ditetapkan seperti jaga penjarakan fizikal, pakai pelitup muka, elakkan perhimpunan beramai-ramai dan lakukan ujian kendiri sebelum bergerak ke sesuatu destinasi,” katanya.

Semasa mengumumkan kebenaran rentas negeri, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyarankan rakyat yang ingin berbuat demikian supaya melakukan ujian pengesahan Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan dan yang bergejala seperti demam, batuk, selesema dan sesak nafas, dinasihati supaya menangguhkannya dahulu.

"Sekiranya anda didapati positif, kuarantin diri atau hubungi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang berhampiran untuk mendapatkan rawatan segera," katanya.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Doktor Kecemasan dan Kesihatan Am Hospital Kasih Cyberjaya Dr Hanafiah Bashirun berkata kerjasama orang ramai dalam mematuhi SOP yang ketat sangat diperlukan bagi membendung diri dari dijangkiti dan menjangkiti orang lain.

Beliau turut mencadangkan individu yang melakukan pergerakan rentas negeri untuk sekali lagi melakukan ujian saringan kendiri sebelum kembali bertugas bagi memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat.

"Selain melakukan ujian saringan kendiri terhadap diri sendiri, saya sarankan mereka yang balik ke kampung sediakan juga kit ujian untuk dilakukan kepada ibu bapa. Ini penting kerana sesiapa sahaja boleh dijangkiti dan semestinya kita mahu pastikan keluarga terutamanya ibu bapa yang warga emas dilindungi," katanya.

Semua kelonggaran yang diumumkan kerajaan akan dinikmati oleh mereka yang sudah mendapat dua dos vaksin dan bagi yang belum mereka dinasihati supaya menyegerakannya kerana vaksin mengurangkan risiko jangkitan, mencegah daripada mendapat jangkitan yang lebih teruk, mengurangkan risiko kematian akibat Covid-19 serta mengurangkan beban sistem kesihatan.

Data terkini oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan bahawa vaksinasi telah berjaya menurunkan kadar kemasukan pesakit Covid-19 ke unit rawatan rapi (ICU) sebanyak 83 peratus dan kadar kematian akibat jangkitan virus itu sebanyak 88 peratus.

Kini proses peralihan negara daripada fasa pandemik kepada endemik berjalan lancar dan selamat, namun rakyat kini memikul tanggungjawab yang besar untuk menjayakan usaha ini. — Bernama

Covid-19, rentas negeri