'Jika anda hargai frontliners, jadilah rakyat bertanggungjawab'


  • Primer
  • Ahad, 10 Okt 2021

KHAIRY mahu semua rakyat mengingati pengorbanan petugas barisan hadapan. — Agensi
MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyatakan kebenaran pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan polis bermula Isnin adalah satu penghargaan kepada petugas barisan hadapan.

Ujar beliau, tanggungjawab kini terletak kepada seluruh rakyat negara ini kerana walaupun rentas negeri dibenarkan, mereka perlu sentiasa mematuhi semua tindakan kesihatan awam dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang masih berkuatkuasa.

"Jika anda benar-benar menghargai apa yang dilakukan oleh petugas barisan hadapan sejak setahun setengah yang lepas, anda akan menjadi lebih bertanggungjawab, sedar kendiri dan anda akan memastikan bahawa anda akan menjaga kesihatan diri sendiri.

"Alhamdulillah, hari ini mencapai nilai ambang yang kita janji dan kita umumkan, dan saya rasa ini adalah pengumuman yang sangat tepat dengan tarikh hari ini iaitu 10 Oktober yang bersamaan dengan Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Hari Doktor Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis ‘Free Medical Camp’ anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sempena Hari Doktor Malaysia 2021 secara maya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan kebenaran merentas negeri berkata, keputusan tersebut dibuat berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sudah mencapai 90 peratus. — Bernama