Mahkamah beri pelepasan sementara pasport Ahmad Zahid


AHMAD Zahid kini sedang berdepan 40 pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd. — Bernama

PERMOHONAN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan pasport buat sementara bagi membolehkan beliau menerima rawatan di Munich, Jerman mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin.

Ahmad Zahid kini sedang berdepan 40 pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Peguam Timbalan Perdana Menteri itu, Datuk Ahmad Zaidi Zainal memaklumkan permohonan itu adalah perkara sama seperti dilakukan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Kita memohon pelepasan sementara pasportnya bagi mendapatkan rawatan di Jerman untuk kecederaan, sama seperti permohonannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.. yang kat sini dah bagi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, Ahmad Zaidi menjelaskan pelepasan ini tidak akan menganggu tarikh perbicaraan yang sudah pun ditetapkan pada 22 Oktober ini.

Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, selaku pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Manakala baki tujuh pertuduhan lagi menyaksikan Ahmad Zahid berdepan tuduhan sebagai menteri sama sudah pun mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya.

Media pada 7 Oktober lalu melaporkan Ahmad Zahid memohon di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya pasportnya diserahkan sementara bagi membolehkannya ke Munich, Jerman bagi mendapat rawatan. — Sinar Harian

Ahmad Zahid, mahkamah tinggi, pasport