Kes maut basikal lajak: Jurujual wanita dilepas, dibebaskan


KE TING (kiri) dibebaskan daripada pertuduhan menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 2017.
MAHKAMAH Majistret Johor Bahru, Johor pada Ahad memutuskan untuk membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang melakukan aktiviti basikal lajak pada 2017.

Keputusan berkenaan dibuat oleh Majistret Siti Hajar, yang membacakan keputusan kes di akhir pembelaan tertuduh, Sam Ke Ting, 26 di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor pada Ahad.

"Selepas meneliti segala keterangan yang dikemukakan dan menimbang semua hujahan Timbalan Pendakwa Raya dan peguam bela tertuduh di akhir kes pembelaan, timbul keraguan munasabah dalam minda saya.

"Maka diputuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes ini melampaui keraguan munasabah.

"Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan di akhir kes pembelaan," menurutnya.

Jelas Siti Hajar, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira keterangan tertuduh yang tiada pengetahuan tentang aktiviti basikal lajak di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, adalah munasabah.

"Tertuduh menyatakan beliau tidak tahu ada aktiviti basikal lajak pada waktu malam dan tiada sebarang amaran terhadap aktiviti tersebut di situ.

"Keterangan tertuduh dia berada di lorong paling kiri lokasi kejadian iaitu Jalan Lingkaran Dalam juga bertepatan dengan hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), yang mendapati kenderaan tertuduh sama ada dipandu pada kelajuan 44.5 kilometer sejam atau 75.8 kilometer sejam.

"Lokasi kejadian itu juga mendaki bukit yang berselekoh dengan keadaan yang gelap dan tertuduh menyatakan tidak nampak ada kumpulan basikal lajak yang memenuhi ketiga-tiga lorong jalan iaitu di bahu, tepi dan tengah jalan di sebalik selekoh berbukit itu.

"Terdapat keraguan identiti pemandu sebenar kereta yang didakwa dipandu tertuduh, berikutan terdapat kemungkinan munasabah tertuduh menumpang kereta yang dipandu rakan berikutan terdapat saksi mata kewujudan seorang lelaki Cina di lokasi kejadian yang didakwa rakan tertuduh," ujar Siti Hajar.

Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi terbabit pada pukul 3.20 pagi 18 Februari 2017.

Remaja yang maut dalam kejadian tersebut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Tertuduh sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda, selain lesen memandu digantung, sekiranya disabit kesalahan.

Mahkamah juga mengarahkan lesen memandu tertuduh dikembalikan semula kepadanya dengan serta-merta. — Majoriti

mahkamah, basikal lajak, bebas, MIROS, Johor Bahru