PIHAK berkuasa Bangladesh menahan lima suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan ketua komuniti Rohingya di Cox’s Bazar, kata polis pada Ahad lapor Agensi Anadolu.
Mereka ditahan di kem pelarian Cox's Bazar antara Jumaat pagi dan Sabtu malam, menurut timbalan penguasa polis daerah Md Rafiqul Islam.
"Siasatan masih berjalan. Kami sangat berhati-hati untuk memastikan bahawa kami dapat tangkap dalang sebenar,” katanya.
Mohibullah, ketua Arakan Rohingya Society for Peace and Human Rights, maut akibat ditembak di luar pejabatnya di kem Kutupalong, Cox's Bazar pada Rabu lalu.
Beliau tokoh popular kepada lebih 1.1 juta pelarian Rohingya di Bangladesh, yang kebanyakannya melarikan diri akibat keganasan tentera di Rakhine, Myanmar pada Ogos 2017.
Keluarganya menyalahkan anggota-anggota militan Tentera Penyelamat Rohingya Arakan (ARSA) terlibat dalam kejadian pembunuhan Moghib.
Popularitinya yang semakin meningkat di kem tersebut menyebabkan kumpulan militan itu marah dengan ketua komuniti etnik berkenaan.
Seorang pegawai polis, Naimul Haque mengesahkan kepada AFP bahawa lima orang telah ditangkap kerana dipercayai membunuh Mohib.
Dua daripada lima lelaki tersebut ditahan untuk disoal siasat selama tiga hari manakala tiga yang lain masih belum dihadapkan di sebuah mahkamah.
Sebelum ini seorang lelaki Rohingya turut ditangkap berhubung kejadian itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram