Syarikat jualan langsung didenda lebih RM5 juta


SYARIKAT berkenaan mengakui salah atas kesalahan pengubahan wang haram, mempromosikan dan menjalankan aktiviti juala langsung tanpa lesen sah.

SEBUAH syarikat yang menjalankan perniagaan produk makanan tambahan kesihatan didenda Rm5.15 juta oleh Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur.

Hukuman dijatuhkan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin selepas syarikat berkenaan mengakui salah atas kesalahan pengubahan wang haram, mempromosikan dan menjalankan aktiviti juala langsung tanpa lesen sah, Isnin lalu.

Proses pendakwaan bagi kesalahan di bawah AJLSAP 1993 dilakukan Timbalan Pendakwa Raya KPDNHEP Syazwani Zawawi manakala Rohaiza Zainal pula bagi kesalahan di bawah AMLATFPUAA 2001.

Mengikut pecahan, syarikat itu didenda RM150,000 mengikut kesalahan Seksyen 4 Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 (AJLSAP 1993) kerana menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen sah.

Denda RM5 juta lagi dikenakan atas kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) kerana menerima wang berjumlah RM450,000 hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 27 Oktober 2018 antara jam 11.30 malam di sebuah premis di Kuala Lumpur.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, sepanjang tempoh 2016 hingga 2021, kementerian melaksanakan tindakan ke atas beberapa kes melibatkan jualan langsung dan skim antipiramid sehingga peringkat pelucuthakan dengan nilai RM55.99 juta dan denda sebanyak RM17 juta.

"KPDNHEP akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana syarikat yang menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen yang sah serta aktiviti skim piramid yang menyalahi undang-undang ini.

"Pengguna diingatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan aktiviti jualan langsung tanpa lesen yang sah atau berunsurkan skim piramid ini," katanya. — Bernama

TAG: KPDNHEP, AMLA, jualan langsung, skim piramid