GARA-gara tidak berpuas hati dengan tindakan tuan tanah yang mengorek jalan laluan utama ke sebuah kebun, seorang lelaki bertindak agresif dengan melanggar kereta mangsa menggunakan jengkaut.
Dua video berdurasi satu minit lebih dan 18 saat yang memaparkan kejadian tersebut telah dikongsikan salah seorang pengguna Facebook, Arif Daniel baru-baru ini.
Menerusi hantaran tersebut, anak kepada tuan tanah mendakwa kejadian berlaku di Labu Kubong, Teluk Intan, Perak yang mana ayahnya terpaksa mengorek laluan ke sebuah kebun untuk menyelesaikan masalah banjir yang berlaku di tanah tersebut.
"Ayah aku baru beli tanah, di Labu Kubong, Teluk Intan, Perak, dan laluan jalan utama itu termasuk dalam kawasan batu sempadan.
"Disebabkan kawasan berada di tepi sungai dan selalu banjir, pukul 12 tengahari ayah korek tanah dekat jalan utama yang berada dalam kawasan batu sempadan untuk membuat kelubung air supaya tidak banjir, tapi kerja terhenti sebab hujan pada pukul satu.
"Kemudian pukul dua hingga tiga petang hari yang sama, datang tujuh lelaki dengan lagak gengster bawak backhoe (jengkaut) untuk timbus jalan tersebut, tetapi dihalang oleh ayah aku.
"Ayah aku cakap elok-elok minta guna laluan lain untuk sementara waktu, sebab mahu selesaikan masalah banjir, tapi mereka tetap berkeras dengan lagak samseng," tulis hantaran tersebut.
Menerusi video yang dimuatnaik, jelas memaparkan tindakan seorang lelaki dalam keadaan marah telah melanggar dan sebuah kereta mengunakan bajak sambil di perhatian beberapa lagi lelaki yang lain.
Perakam video yang dipercayai tuan kepada tanah turun daripada kereta dan melarikan diri ke kawasan semak untuk menyelamatkan diri.
"Bagus... ada point. Malam ini tidur balai," katanya sebelum didatangi lelaki yang membawa jengkaut dengan memegang tukul besi sambil mengugut untuk membunuh tuan tanah.
Kejadian ini mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan tindakan lelaki tersebut. — Majoriti
