LADA-MAB bekerjasama promosi pelancongan Langkawi


  • Bizz
  • Sabtu, 09 Okt 2021

KERJASAMA LADA-MAB diharapkan akan menjadikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama dan mengembalikan kegemilangan Langkawi di mata dunia. —The Star

DALAM usaha mempromosikan pelancongan di Pulau Langkawi, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Malaysia Airlines Bhd (MAB) akan memeterai perjanjian bersama.

Menerusi kerjasama itu, MAB akan menjadi rakan penerbangan rasmi untuk memacu sektor pelancongan domestik dan antarabangsa di pulau peranginan, berkenaan selain mewujudkan satu platform laluan udara dengan kadar kos tambang dan hospitaliti yang lebih menarik kepada pelancong.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, pihaknya berharap kerjasama itu akan menjadikan Langkawi sebagai salah satu destinasi pelancongan utama serta dapat mengembalikan kegemilangan Langkawi di mata dunia.

“Semoga kerjasama ini dapat memanfaatkan rantaian ekonomi di Langkawi secara keseluruhan dan LADA menyasarkan jumlah kedatangan pelancong ke Langkawi melalui pengangkutan udara bakal meningkat sehingga penghujung tahun ini.

“Berdasarkan statistik, semenjak Langkawi dibuka kepada pelancong sehingga 6 Oktober lalu, seramai 41,657 atau 69 peratus daripada 60,504 orang pelancong tempatan telah memilih untuk menggunakan pengangkutan udara,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, menerusi kerjasama itu juga, kedua-dua pihak akan melaksanakan usaha pengiklanan, publisiti dan kempen Langkawi Great Sale bagi menarik kedatangan pelancongan ke Langkawi.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG) Kapten Izham Ismail berkata, kerjasama itu mencerminkan keyakinan LADA terhadap syarikat penerbangan nasional dan sejajar dengan komitmen MAG untuk menjadikan Langkawi sebagai destinasi percutian pilihan dalam negara.

Beliau menambah, melalui kerjasama itu, lebih banyak inisiatif dan rangkaian promosi dapat ditawarkan melalui platform digital termasuklah ‘MHholidays’ dan ‘Journify’, yang sekali gus membuka jalan kepada lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke Langkawi yang seterusnya akan memeriahkan sektor pelancongan, penerbangan dan ekonomi negara.

“Matlamat kami adalah untuk memberikan pelanggan kami dengan layanan mesra ‘Malaysian Hospitality’ dan pengalaman penerbangan terbaik di samping sentiasa mengutamakan keselamatan dan keselesaan penumpang dengan protokol keselamatan dan kesihatan rapi yang sedia ada,” katanya.

Pada masa ini, kesemua anak syarikat MAG termasuk MAB, Firefly dan MASwings menawarkan lebih 50 penerbangan seminggu dari Kuala Lumpur, Subang, Pulau Pinang serta Sabah dan Sarawak ke Langkawi bermula 16 September lalu sebagai sokongan kepada projek rintis gelembung pelancongan di pulau itu. —Majoriti

LADA, MAB, Langkawi