9,751 kes baharu Covid-19, Selangor kembali tertinggi


  • Primer
  • Jumaat, 08 Okt 2021

KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

MALAYSIA mencatatkan sebanyak 9,751 kes baharu Covid-19 pada Jumaat, menurun sedikit berbanding 9,890 kes pada Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini meningkat kepada 2,323,478 kes setakat ini.

Selangor merekodkan jumlah kes harian tertinggi dengan 1,796 kes diikuti Sarawak (1,339), Kelantan (1,052), Johor (864) dan Sabah (705).

Terengganu pula mencatatkan 650 kes, diikuti Perak (643), Pulau Pinang (632), Kedah (578), Pahang (551), Kuala Lumpur (313), Melaka (244) dan Negeri Sembilan (243).

Sementara itu, Perlis dan Putrajaya masing-masing mencatatkan 94 dan 45 kes, manakala Labuan pula hanya dua kes.

Daripada keseluruhan 9,751 kes baharu yang dilaporkan, Noor Hisham berkata, 9,545 kes atau 97.9 peratus terdiri daripada kategori 1 dan 2 manakala 206 kes (2.1 peratus) adalah daripada kategori 3, 4, dan 5.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 12,724 kes sembuh baharu direkodkan pada Jumaat, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh meningkat kepada 2,170,289.

Selain itu, sebanyak 792 pesakit berada di unit rawatan rapi (ICU), dengan 386 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak 10 kluster baharu dicatatkan pada Jumaat menjadikan jumlah kluster meningkat kepada 5,570. Daripada jumlah berkenaan, hanya 874 kluster yang masih aktif. — Majoriti

covid-19, kes harian, kes baharu