Felow Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Jeniri Amir berkata, konsep tersebut hanya betul-betul bermakna jika ia dapat menyatupadukan rakyat dari pelbagai kaum, agama dan latar belakang melalui dasar dan program yang adil serta tanpa diskriminasi.
"Konsep tersebut harus dilaksanakan secara inklusif dan tidak hanya dimonopoli oleh sesetengah pihak atau kaum sahaja.
"Ia juga harus bergerak di seluruh peringkat negara bermula dari akar umbi bagi mendengar segala keluhan dan masalah rakyat tanpa memilih kasih.
"Jika tidak ia akan dianggap gagal dan hanya menjadi satu retorik dan kempen politik oleh pihak kerajaan," katanya kepada Majoriti.
Jelasnya, tahap kejayaan konsep tersebut hanya boleh diukur jika ia dapat mengelakkan konflik dalam masyarakat berkaitan agama, kaum dan ekonomi serta sejauh mana rakyat dapat saling memahami ke arah perpaduan sosial.Katanya, Perdana Menteri mempunyai cabaran yang besar dalam melaksanakan konsep tersebut di tengah-tengah situasi negara yang masih lagi bertarung dengan Covid-19 dan juga sesetengah pihak yang cuba melaga-lagakan rakyat.
"Kita lihat pada hari ini banyak pihak yang mengapi-apikan soal agama, kaum dan sebagainya, termasuk perbezaan ideologi politik serta tuntutan sesetengah pihak di Sabah dan Sarawak untuk memberi tekanan kepada Putrajaya.
"Apa yang paling penting adalah keikhlasan, kesungguhan dan komitmen seluruh jentera terbabit baik daripada pihak kerajaan mahupun jentera luar untuk mengelakkannya daripada hanya gah di atas kertas," kata Jeniri.
Ismail pada Jumaat menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran Keluarga Malaysia di Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Dalam majlis berkenaan, beliau menggariskan tiga teras utama dan 20 pengkayaan nilai dalam 'Keluarga Malaysia' yang mendasari kerajaan baharu pimpinannya. — Majoriti