PH perlu jelas sebab tidak pertahan Batu Puteh — Mohamed Khaled


  • Politik
  • Ahad, 10 Okt 2021

MOHAMED Khaled memberitahu PH seharusnya menjelaskan sebab kenapa mereka tidak mempertahakan pulau Batu Puteh. — The Star

PAKATAN Harapan cuai kerana tidak meneruskan semakan semula keputusan undang-undang berkenaan isu Batu Puteh atau Pedra Branca, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut beliau, tindakan itu juga disifatkan sebagai membelakangkan kepentingan nasional dan mereka harus dipertanggungjawabkan, jika terbukti berlaku kecuaian.

"Tindakan itu merupakan 'the neglect of duty of the highest order,' malah PH tidak pernah menjelaskan keputusan mereka untuk tidak meneruskan prosiding semakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

"Keputusan sepenting itu sewajarnya diterangkan di Parlimen secara telus dan bertanggungjawab dan Tun Mahathir semasa menjawat jawatan Perdana Menyeri ketujuh tidak menyatakan sebab yang jelas atas tindakan beliau," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau lagi, rakyat Malaysia seharusnya tahu situasi sebenar keadaan ini malah, mereka juga boleh menilai siapa yang seharusnya dipersalahkan atas kegagalan negara kehilangan Batu Puteh.

Jelas Mohamed Khaled lagi, bangsa lain bermatian untuk mempertahankan walau seinci tanahair mereka namun kerajaan PH melepaskan segala usaha mempertahankan kedaulatan Batu Puteh tanpa sebarang penelitian secara mendalam dan pertanggungjawaban.

Kabinet pada Sabtu dilaporkan mencapai persetujuan supaya pasukan petugas khas diwujudkan bagi tujuan semakan semula undang-undang berkenaan isu Batu Puteh.

Menurut, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pasukan petugas khas itu akan membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

"Usaha itu bertujuan menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Batu Puteh," ujar beliau.

Berhubung penubuhan pasukan petugas khas berkenaan, Mohamed Khaled memuji keputusan kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengkaji opsyen yang sesuai berhubung kes Pulau Batu Putih.

"Dengan menubuhkan pasukan petugas khas kes Pulau Batu Putih ini, amat penting untuk pasukan ini menjelaskan dalam laporannya nanti perkara sebenar yang menyebabkan kerajaan menarik balik semakan ke atas penghakiman kes Batu Puteh," jelasnya.

ICJ pada Mei 2008 dilaporkan memutuskan Batu Puteh adalah wilayah berdaulat Singapura, namun pada Februari 2017, Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengemukakan permohonan untuk semakan penghakiman berkenaan dengan alasan penemuan bukti baru.

Tarikh pendengaran untuk semakan itu ditetapkan pada 11 Jun 2018, namun pada 30 Mei 2018, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Kerajaan Malaysia mempertimbangkan menarik diri daripada kes Batu Puteh daripada ICJ. — Majoriti

Mohamed Khaled, UMNO, Mahathir, batu puteh, cuai