PROSEDUR Operasi Standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sudah pun disediakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan kini sedia berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ketika ini, KKM masih lagi menunggu keputusan daripada jemaah menteri mengenai PRN Melaka sebelum SOP akan diperincikan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, KKM sudah pun memberikan pandangan kepada jemaah menteri, semalam.
"KKM sudah memberi pandangan kepada jemaah menteri semalam berkenaan SOP PRN Melaka dan kita serah kepada jemaah menteri untuk buat keputusan terlebih dahulu sama ada PRN diteruskan atau tidak.
"Sekiranya diteruskan, maka KKM sudah ada pandangan berkenaan SOP tertentu yang perlu diambil kira oleh SPR.
“Terlalu awal untuk kita buat pengumuman, biar jemaah menteri buat keputusan dulu,” katanya.
Sebelum ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan selepas kerajaan negeri yang diketuai Umno hilang majoriti.
Mengikut perlembagaan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN itu. — Bernama
