PEMIMPIN politik Melayu dinasihatkan supaya tidak menubuhkan terlalu banyak parti politik kerana ia hanya akan menyebabkan orang Melayu berpuak-puak.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tiada keperluan untuk menubuhkan parti politik yang baharu sebaliknya lebih baik menyertai parti politik sedia ada di negara ini.
"Umno satu sudah cukup, ni kalau buat bagi banyak lagi, kita akan berpuak-puak.
"Ikutlah pakat-pakat dalam satu organsisasi," katanya kepada media selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2021 (HSN 2021) peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Putrajaya pada Sabtu.
Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media yang menyebut Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah telah mengetuai mesyuarat dengan sekumpulan veteran Umno bagi membincangkan usaha mewujudkan 'Umno lama' semalam.
Mengulas lanjut mengenai cadangan penubuhan sebuah parti politik baharu iaitu Parti Kuasa Rakyat, Mahdzir berkata pada masa ini sudah terlalu banyak parti politik dalam kalangan orang Melayu.
"Orang Melayu yang banyak sangat parti ni, rakan-rakan kaum Cina dan India tidak sebanyak orang Melayu. Tak tau lah apa matlamat mereka (tubuh parti baharu)," katanya. — Majoriti
