PRN Melaka : 'Kita tidak mahu bergaduh dengan orang'


  • Politik
  • Ahad, 10 Okt 2021

AHMAD Ahmad Faizal berkata Bersatu mengamalkan politik mesra, kasih sayang dan tidak bermusuh dengan sesiapa.
BERSATU tidak menolak untuk berunding dengan mana-mana parti politik bagi menjalinkan bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana mengamalkan politik mesra, kasih sayang dan tidak bermusuh dengan sesiapa, kata Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

"Kita tidak mahu bergaduh dengan orang. Kalau orang bergaduh dengan kita pun, kita maafkan dan nak berbaik dengan sesiapa juga tapi jangan sampai merosakkan agama, bangsa dan tanah air.

"Saya yakin kalau kita buat sesuatu yang baik (tetapi) orang tidak bersama dengan kita, Allah pasti akan buka hati mereka untuk bersama dengan kami yang benar-benar ikhlas nak bekerja untuk rakyat," katanya.

Terdahulu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan menolak kerjasama dengan Bersatu dalam menghadapi PRN Melaka.

Mengulas mengenai perkara itu, Ahmad Faizal berkata, penolakan kerjasama antara dua parti itu bukanlah keputusan Umno secara keseluruhan, namun hanya dicadangkan oleh beberapa pemimpin sahaja.

"Kalau ada yang kata tak nak bersama dengan kita, saya percaya mungkin itu pandangan peribadi, bukannya pandangan majoriti parti yang mereka wakili.

"Saya percaya masyarakat, terutama orang Melayu sangat berharap dan mendoakan orang politik tidak bergaduh dan bercakaran sesama sendiri.

"Sebaliknya mengerat dan merapatkan saf dan pada masa sama mementingkan rakyat lebih daripada kepentingan diri, kumpulan atau parti yang mereka wakili," katanya. — Majoriti