KKM lancar ciri baharu COVIDNOW


  • Primer
  • Ahad, 10 Okt 2021

RADZI memaklumkan fitur baharu itu akan memberikan maklumat telus kepada masyarakat. — Agensi
KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melancarkan fitur atau ciri baharu perincian vaksinasi bagi peringkat sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dalam laman sesawang COVIDNOW.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, melalui fitur baharu tersebut, ibu bapa atau penjaga boleh membuat semakan kadar vaksinasi murid bagi sekolah anak masing-masing.

"Usaha berkenaan dapat menyediakan maklumat telus kepada masyarakat khususnya ibu, bapa serta penjaga dan juga sebahagian daripada langkah peralihan negara ke fasa endemik.

"Semakan boleh dibuat melalui pautan https://covidnow.moh.gov.my/school,” ujarnya menerusi perkongsian di Facebook pada Ahad.

Tambah Radzi, KPM bekerjasama rapat dengan KKM dalam pelaksanaan program vaksinasi kepada remaja berumur 12 hingga 17 tahun atau Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja bermula pada awal September lalu.

Ujarnya lagi, KPM dan KKM mengadakan perbincangan bagi meneliti pendekatan terbaik untuk menyediakan maklumat berkaitan status pelaksanaan PICK Remaja bagi murid sekolah dan maklumat tersebut boleh dikongsi kepada umum sebagaimana data vaksinasi yang lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Radzi memaklumkan hampir 80 peratus pelajar berumur 12 hingga 17 tahun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 hingga kini. — Majoriti

Radzi Jidin, remaja, murid, vaksin, Covid-19, fitur