Vaksinasi remaja OKU tak kira status


  • Primer
  • Sabtu, 02 Okt 2021

KIRA-KIRA 1.5 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun negara ini menerima vaksin. — Bernama

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mensasarkan semua remaja Orang Kelainan Upaya (OKU) tanpa mengira status warganegara atau jenis ketidakupayaan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja).

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Noor Azmi Ghazali menerusi kenyataannya pada Sabtu, program berkenaan memberi tumpuan kepada remaja OKU yang berada di institusi/ pusat jagaan OKU berkediaman; Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), institusi pendidikan dan mereka yang terlantar di rumah.

"Pendaftaran remaja OKU yang berada di institusi perlindungan, pemulihan dan pendidikan sama ada berdaftar atau tidak, perlu dilakukan oleh pengetua, pengusaha atau penyelia institusi masing-masing melalui portal Vaksin Anakku.

"Remaja OKU terlantar di komuniti dikenal pasti melalui sama ada daripada senarai penerima Bantuan Pesakit Terlantar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau senarai berdaftar dengan PDK atau pendaftaran remaja OKU terlantar di rumah oleh KKM," katanya.

Tambah Noor Azmin, proses pemberian vaksin kepada remaja OKU di institusi dan yang terlantar di rumah akan dilakukan secara jangkau luar (outreach) dan berjadual.

"Bagi remaja OKU yang tiada dalam senarai, ibu bapa dan penjaga boleh hadir ke klinik kesihatan berdekatan atau memaklumkan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk mendaftarkan remaja berkenaan bagi mendapatkan vaksinasi.

"Remaja OKU bersekolah harian pula akan diberi vaksinasi secara berjadual di PPV atau sekolah dan remaja OKU bersekolah asrama menerima janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera," jelas beliau lagi.

Dalam pada itu, ujar Noor Azmi, remaja OKU yang mempunyai masalah tingkah laku seperti Autism Spectrum Disorder, Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) atau komorbid yang lain, pemberian vaksinasi boleh dilakukan di klinik kesihatan atau hospital kerajaan berdekatan dengan rumah.

"Senarai nama remaja OKU ini akan dikumpul di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) untuk diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

"Pemberian janji temu akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera manakala bagi ibu bapa yang tidak mempunyai aplikasi berkenaan, pemberian vaksin dilakukan secara jangkau luar dan berjadual.

Seramai 67,676 remaja OKU berusia 12 hingga 17 tahun berdaftar menerusi Sistem Maklumat Orang Kelainan Upaya (SMOKU) sehingga 31 Ogos. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram