PICK: 'Tidak sabar kembali ke sekolah, belajar seperti biasa'


  • Massa
  • Khamis, 23 Sep 2021

PROGRAM Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja yang menyasarkan remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sambutan baik daripada ibu bapa yang melihatnya sebagai antara usaha mencegah penularan pandemik itu dengan lebih menyeluruh.

PICK Remaja, yang turut melibatkan pelajar sekolah berasrama, diyakini dapat mengurangkan risiko jangkitan serta mencegah kemunculan kes dan kluster dalam kalangan warga sekolah apabila sesi persekolahan dibuka nanti.

Azman Hussin, 46, berkata sebagai seorang bapa sudah semestinya beliau berasa lega selepas anak sulungnya, Muhammad 'Aqil Azman, 16, yang merupakan pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar, di Perak, menerima suntikan vaksin.

"Saya rasa lega sebab anak sudah divaksin dan berharap agar program vaksinasi ini dapat diteruskan kepada remaja bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, di samping membolehkan anak-anak meneruskan persekolahan seperti sediakala," katanya.

Sementara itu, Muhammad 'Aqil berkata beliau tidak sabar untuk memulakan sesi persekolahan secara fizikal selepas mendapat suntikan vaksin memandangkan hampir lima bulan tidak dapat balik ke asrama.

"Rasa gembira sudah divaksin, malah saya tidak sabar untuk kembali ke sekolah dan belajar seperti biasa," katanya sambil mengajak rakan-rakan pelajar lain bersama menjayakan program vaksinasi yang dilaksanakan kerajaan demi kesihatan rakyat.

Dalam pada itu, Adawiyah Mustafa, 41 yang merupakan ibu kepada Nur Aina Wafa Abdul Karim, 16, pelajar Sekolah Menengah Sains Kepala Batas, berkata beliau menyokong usaha kerajaan melaksanakan vaksinasi ke atas pelajar sekolah dengan harapan dapat membendung penularan Covid-19.

"Saya tidak berasa ragu untuk menjadi ibu bapa terawal yang membawa anak ke PPV bagi mendapatkan suntikan, seterusnya mencapai sasaran imuniti kelompok seperti disarankan kerajaan," katanya yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan Juru, di Seberang Perai Tengah, Butterworth.

Tinjauan Bernama di PPV Dewan Milenium Kepala Batas mendapati keadaan di PPV tersebut terkawal dengan kehadiran ibu bapa menemani anak masing-masing untuk divaksin seawal jam 10 pagi.

Sementara itu, di PPV SPICE Convention Centre dekat Bayan Baru, George Town, pasangan kembar berusia 16 tahun, Danish Husni dan Danial Husni juga dilihat teruja untuk mendapatkan suntikan vaksin masing-masing.

Ibu pasangan kembar itu, Rodiah Pariti, 53, berkata baginya tiada halangan untuk membawa anak-anak mendapatkan vaksin kerana itu tanggungjawabnya sebagai ibu dalam memastikan kesihatan mereka terjamin.

"Mereka sekolah berasrama dekat Kepala Batas, jadi memang patut dapat vaksin sebab nak kembali ke asrama dalam masa terdekat ini. Sekarang sudah tidak risau sangat cuma perlu patuh prosedur operasi standard (SOP) sedia ada," katanya yang menetap di Air Itam, George Town.

PICK Remaja yang bermula secara rasmi pada 20 Sept lepas menyasarkan penglibatan 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun, dengan 60 peratus daripada mereka mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada November ini dan 80 peratus mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022.

Bagaimanapun, program itu telah dimulakan lebih awal di Sarawak pada 8 Sept dan Labuan pada 11 Sept selepas kadar vaksinasi di negeri dan wilayah persekutuan tersebut mencapai 80 peratus, manakala di Sabah pula dimulakan pada 16 Sept kerana sebahagian besar remaja tinggal di kawasan pedalaman dan memerlukan lebih masa bagi aktiviti jangkau luar (outreach).

Di Pulau Pinang, pemberian vaksin melibatkan pelajar asrama berusia 16 hingga 17 tahun bermula Rabu, manakala sesi vaksinasi membabitkan pelajar berusia 16 hingga 17 tahun tanpa komorbid pula akan dijalankan di enam PPV bermula Khamis. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PICK, vaksinasi, pelajar, berasrama, ibu bapa, Covid-19