Remaja enggan terima vaksin masih dibenarkan hadir ke sekolah


  • Primer
  • Isnin, 27 Sep 2021

SEBANYAK 33.3 peratus daripada lebih 2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun di seluruh negara menerima dos pertama vaksin sehingga Ahad. — Bernama

SEBILANGAN kecil ibu bapa dilaporkan masih belum bersedia untuk membenarkan anak-anak mereka mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, bagaimanapun tiada data khusus berhubung jumlah pelajar terbabit memandangkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja baru sahaja dilaksanakan.

"Memang ada (yang belum bersedia), saya melawat banyak pusat pemberian vaksin (PPV) di beberapa negeri tetapi jumlahnya amat kecil, tetapi kita belum ada angka sebenar kerana program ini masih berjalan, namun sekecil mana pun ia perlu diambil perhatian.

"Saya rasa kalau kita memperkenalkan atau memulakan sesuatu sudah tentu masih ada segelintir kecil yang belum bersedia (menerima) atas sebab tertentu, walaupun banyak (kebaikan) dimaklumkan kepada mereka,” jelasnya kepada pemberita selepas melawat program PICK Remaja di PPV Majlis Bandaraya Seremban, Negeri Sembilan pada Isnin.

Sehubungan itu, Hang Soon berkata, pelbagai langkah diambil Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memberi penerangan kepada ibu bapa dan pelajar tentang kepentingan vaksinasi termasuk menyediakan kaunter maklumat dan kaunseling di setiap PPV.

Tambah beliau, KPM tidak akan menghalang pelajar yang masih belum mengambil vaksin Covid-19 untuk hadir ke sekolah apabila sesi persekolahan secara bersemuka dibuka 3 Oktober nanti, namun pihaknya akan terus memberi penerangan kepada mereka.

Dalam pada itu, Hang Soon turut menasihati ibu bapa supaya segera membawa anak mereka mendapatkan rawatan di klinik dan hospital, sekiranya mengalami kesan sampingan atau gejala serius selepas suntikan vaksin selain mengemas kini data kesihatan di aplikasi MySejahtera.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 33.3 peratus daripada lebih 2 juta murid berusia 12 hingga 17 tahun di seluruh negara menerima dos pertama vaksin Covid-19 sehingga Ahad, manakala 4.5 peratus lengkap vaksinasi membabitkan 687 PPV.

"Di Negeri Sembilan, seramai 24.1 peratus telah menerima dos pertama dan 4.7 peratus telah lengkap dua dos, yang dilaksanakan di 44 PPV di seluruh negeri ini,” menurutnya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

vaksinasi, PICK remaja, Covid-19, ibu bapa