Risiko pandemik individu tidak divaksin boleh berlaku - Pakar


  • Massa
  • Sabtu, 09 Okt 2021

PEMATUHAN SOP dituntut terutamanya jika kebenaran rentas negeri diputuskan kelak. — Bernama
PAKAR kesihatan menjangkakan situasi pandemik bagi individu yang tidak divaksin berkemungkinan bakal berlaku di negara ini.

Menurut pakar kesihatan awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Malina Osman, golongan yang tidak menerima vaksin berisiko mendapat komplikasi yang teruk sekiranya dijangkiti Covid-19.

Ujarnya, risiko berkenaan turut membimbangkan beliau sekiranya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) masih lemah dalam kalangan rakyat apabila kebenaran rentas negeri diputuskan kelak.

"Saya berpendapat kita perlu berjaga-jaga kerana data semasa menunjukkan di negara lain, walaupun kadar vaksinasi tinggi namun lonjakan kes turut meningkat.

"Mereka yang menolak untuk menerima vaksin serta tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan ini turut berdepan risiko tinggi sekiranya dijangkiti Covid-19 kerana vaksin itu sendiri merupakan benteng sistem imun seseorang," jelasnya.

Tambah Malina, beliau menyarankan agar golongan berkenaan melakukan saringan kendiri secara berkala bagi memastikan tahap kesihatan mereka.

"Ujian saringan kendiri secara berkala perlu dilakukan bagi mereka yang tidak divaksin, terutama apabila hendak keluar atau berjumpa individu lain

"Saya juga menyarankan harga bagi kit ujian juga perlu diturunkan supaya akses kepada ujian kendiri dapat dicapai oleh seluruh masyarakat," katanya.

Penularan Varian Yang Membimbangkan (VOC) seperti varian Delta di negara ini menyebabkan berlakunya lonjakan kes Covid-19. — Astro Awani