Trafik dijangka sesak sebaik rentas negeri dibenarkan – PLUS


  • Primer
  • Jumaat, 08 Okt 2021

PLUS telah bersedia untuk pembukaan semula perjalanan antara negeri dan bersedia untuk kemasukan jumlah kenderaan yang tinggi. – The Star

ALIRAN trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dijangka meningkat antara 1.1 hingga 1.3 juta kenderaan sehari.

Ia merupakan jangkaan PLUS sekiranya kerajaan mengumumkan rentas negeri dibenarkan semula berikutan 90 peratus populasi dewasa telah divaksinasi.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad Datuk Zakaria Ahmad Zabidi dalam kenyataan pada Jumaat berkata, ramai penduduk Lembah Klang serta dari negeri-negeri lain akan merebut peluang ini untuk melakukan perjalanan untuk bertemu ahli keluarga dan sahabat handai.

"PLUS telah bersedia untuk pembukaan semula perjalanan antara negeri dan bersedia untuk kemasukan jumlah kenderaan yang tinggi.

"Lebuhraya PLUS telah bersedia untuk pembukaan semula perjalanan antara negeri dan semua 94 plaza tol di seluruh wilayah utara dan selatan bersedia untuk menerima pertambahan kenderaan sebaik sahaja rentas negeri dibenarkan,” katanya.

Tambah beliau, pengguna lebuh raya diingatkan agar sentiasa memastikan tahap keselamatan mereka dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu memeriksa MySejahtera, pemakaian pelitup muka yang betul, penjarakan fizikal dan pensanitasi tangan, yang perlu dipatuhi di sepanjang lebuh raya.

"Kami teruja bahawa 90 peratus populasi dewasa kita telah divaksinasi sepenuhnya dan kini boleh melakukan perjalanan di lebuh raya tetapi perlu mematuhi SOP COVID-19.

"Kami menggalakkan mereka selepas dua jam memandu supaya berhenti di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah kami untuk berehat,” ujarnya.

Semua kemudahan awam di 29 R&R dan 50 hentian sebelah PLUS sentiasa dibersihkan bagi memastikan ia sentiasa diselenggara dan kemudahan seperti surau dan tandas dibuka 24 jam sehari.

Selain itu, kerjasama dengan Polis Trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama kakitangan PLUS di sepanjang 1,130 km itu dapat meningkatkan penguatkuasaan di lebuh raya tersebut.

Selain itu, pengguna lebuh raya juga mempunyai pilihan digital untuk membuat pesanan awal daripada rakan kongsi perniagaan di R&R terpilih bagi makanan berbungkus iaitu di https://ordersini.plus.com.my dan rancang perjalanan mereka menggunakan Aplikasi PLUS atau mendaftar sebagai ahli PLUSMiles melalui www.plus.com.my. – Majoriti