'Jangan balik Kelantan jika belum divaksinasi'


  • Primer
  • Sabtu, 09 Okt 2021

AHMAD Yakob (kanan) mencuba sukan boling padang sempena Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2021 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Panji pada Sabtu. — Bernama

MENTERI Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menasihati warga Kelantan di perantauan yang masih belum melengkapkan vaksin Covid-19 supaya menangguhkan perancangan untuk pulang ke kampung apabila kebenaran rentas negeri sudah dibenarkan kelak.

Beliau turut menyaran mereka yang sudah melengkapkan vaksin Covid-19 supaya melakukan saringan kendiri terlebih dahulu dan memastikan tidak bergejala sebelum pulang ke kampung.

"Walaupun rindu berjumpa dengan ibu bapa, keluarga dan saudara mara, apa yang lebih penting adalah melengkapkan terlebih dahulu dua dos suntikan vaksin.

"Sekiranya bergejala, saya mohon jangan balik lagi dan bertenang dahulu serta patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mencegah penularan pandemik Covid-19," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Belia Dan Sukan Negeri Kelantan, Kota Bharu pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, kadar vaksinasi di negeri itu masih rendah berbanding negeri-negeri lain kerana ramai rakyat negeri itu menetap di luar dan mempunyai alamat di Kelantan.

Katanya, kemungkinan mereka sudah mendapatkan dua dos suntikan vaksin di kawasan masing-masing.

"Jadi, ini yang mungkin menyebabkan kadar vaksinasi di Kelantan tidak sepantas negeri-negeri lain sedangkan kita sebenarnya sudah berusaha memberi suntikan vaksin kepada rakyat di negeri ini melalui program Outreach dan juga Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Sehingga hari ini, kita sudah mencapai 79 peratus kadar vaksinasi dan ini bermakna hasrat dan sasaran kerajaan untuk mendapatkan 80 peratus kadar vaksinasi pada pertengahan Oktober ini akan dapat dicapai," katanya. — Berita Harian