Ahmad Maslan tarik diri calon Timbalan Dipertua Dewan Rakyat


  • Politik
  • Khamis, 07 Okt 2021

AHMAD Maslan membuat pengumuman menarik diri calon Timbalan Dipertua Dewan Rakyat. — Bernama
AHLI Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan menarik diri daripada menjadi calon Timbalan Dipertua Dewan Rakyat.

Jelasnya, keputusan itu diambil supaya beliau dapat memberi fokus sepenuhnya terhadap tanggungjawab selaku Setiausaha Agong Umno apatah lagi dalam dalam keadaan politik yang mencabar pada ketika ini.

"Perbincangan telah dibuat bersama pucuk pimpinan Umno dan satu calon lain akan dikemukakan dalam masa terdekat.

“Saya telah maklumkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan berjumpa Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun,” katanya dalam sidang media di Bilik Media Bangunan Parlimen pada Khamis.

Jelas beliau lagi, penarikan diri itu turut membolehkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menentukan calon baharu dalam tempoh yang diperlukan.

“Jika tidak, ia tidak akan memenuhi 14 hari syarat yang dikenakan sebelum persidangan Dewan Rakyat pada sesi akan datang 25 Oktober depan.

“Saya harap calon adalah daripada Umno,” katanya. — Majoriti