KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa bersikap 'ambil tahu' tentang kebimbangan orang ramai berhubung risiko yang menanti selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Idea untuk melaksanakan PRN menimbulkan rasa gusar berlaku lonjakan kes Covid-19 seperti yang pernah berlaku ketika PRN Sabah.
Pelaksanaan PRN berisiko menjejaskan semula aktiviti soal dan ekonomi negeri yang kini berada dalam ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perbincangan di peringkat Kabinet begitu diperlukan kerana pelaksanaan PRN akan turut membabitkan banyak faktor seperti kesihatan, perundangan dan Perlembagaan.
Untuk itu, KKM menunggu hasil daripada perbincangan mesyuarat Kabinet pada Jumaat sebelum menentukan prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian untuk PRN Melaka.
Pada Selasa, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, dilaporkan menasihatkan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam suapaya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa Isnin, susulan kemelut politik yang tercetus di negeri itu.
Pembubaran DUN Melaka selepas Sulaiman hilang majoriti sokongan akibat tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada blok kerajaan, menarik sokongan terhadap kepemimpinannya.
Mengikut Perlembagaan, PRN perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.
Bagaimanapun, kemungkinan pelaksanaan PRN Melaka mencetus kebimbangan berlakunya lonjakan kes Covid-19 secara mendadak di negeri itu dan seluruh negara, seperti yang berlaku pasca PRN Sabah pada September tahun lalu.
Ketika ini, jumlah kes harian Covid-19 di Melaka berlegar sekitar 200 hingga 300 sehari, manakala kadar vaksinasi lengkap bagi seluruh populasi di negeri itu adalah lebih 65 peratus, namun lebih 89 peratus bagi populasi dewasa lengkap divaksin.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan turut meluahkan rasa risau tentang risiko yang mungkin dihadapi jika PRN dilakukan.
Ahmad juga berkata, Umno tidak menolak kemungkinan akan mengesyorkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat bagi menghalang PRN Melaka.
Malah Ahmad turut menjelaskan yang perkara ini diyakini akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet. — Majoriti
