PERTELINGKAHAN antara seorang pemandu lori dan beberapa anggota penguatkuasa tular di media sosial pada Sabtu.
Menerusi video berdurasi lebih 2 minit dirakam oleh pemandu lori tersebut setelah dia didatangi oleh beberapa penguatkuasa yang memberhentikan kenderaan mereka di hadapan lori itu.
Difahamkan, penguatkuasa terbabit berang dengan perbuatan bahaya pemandu lori itu yang cuba ‘mencucuk’ rapat atau menghampiri kenderaan mereka dari arah belakang.
Tindakan pemandu lori yang merakam pertelingkahan itu menaikkan lagi kemarahan anggota penguatkuasa berkenaan yang bercakap dalam loghat utara Semenanjung.
“Saya tahu abang askar, relax (bertenang) bang. Takde apa pun bang.
“Saya habaq (kata) lori rosak. Saya kalau turun lori rosak. Jalan jammed (sesak),” katanya yang cuba menenangkan anggota berkenaan.
Khuatir terjadi sebarang perkara tidak diingini berlaku, pemandu berkenaan enggan turun dari lori selepas beberapa kali didesak oleh anggota terbabit.
Mereka kemudiannya beransur pergi tidak beberapa lama kemudian selepas mengambil gambar lori berkenaan.
“Macam ini ke askar Malaysia. Tak boleh nak bincang elok-elok langsung. Bukannnya saya nak benda ni jadi.
“Tolong orang atasan. Tak boleh bawa bincang langsung. Kalau saya turun mungkin dia belasah saya tadi,” dakwa pemandu lori itu.
Tidak dapat dipastikan masa dan tempat sebenar lokasi kejadian dirakam.
Belum ada sebarang kenyataan rasmi dari pihak berkuasa berhubung insiden itu. —Majoriti