Hanya 0.9 peratus lagi untuk rentas negeri


  • Primer
  • Jumaat, 08 Okt 2021

Sasaran untuk mencapai 90 peratus kadar vaksinasi di negara ini kini berbaki 0.9 peratus. — Bernama
SETAKAT malam Khamis, sebanyak 20,856,337 atau 89.1 peratus daripada populasi dewasa di negara ini sudah lengkap menerima dos vaksinasi Covid-19.

Peningkatan sebanyak 0.3 peratus kadar vaksinasi lengkap bagi dewasa berbanding sehari sebelum itu (6 Oktober) 88.8 peratus menjadikan sasaran untuk mencapai 90 peratus kadar vaksinasi di negara ini kini berbaki 0.9 peratus.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi portal COVIDNOW, 94.6 peratus atau 22,153,302 individu bagi populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Selain itu, sejumlah 196,647 dos suntikan vaksin diberikan pada Khamis (7 Oktober) bagi golongan dewasa melibatkan 108,092 individu bagi suntikan dos pertama dan 88,555 individu bagi suntikan lengkap menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 45,204,479.

Sebanyak 147,938 atau 4.7 peratus individu bagi golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun sudah melengkapkan suntikan vaksin manakala 68.5 peratus atau 2,156,346 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, setakat semalam.

Pada 22 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti merentas negeri akan dibenarkan apabila 90 peratus golongan dewasa telah melengkapkan vaksinasi Covid-19 mereka. — Bernama

Covid-19, vaksinasi, PICK, COVIDNOW, KKM