SYARAT dan ketetapan baharu program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H) mencetuskan polemik, terutama dalam kalangan penganalisis dan mereka yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan itu.
Menurut penganalisis pengurusan krisis, Nordin Abdullah, syarat-syarat ketat tersebut dibimbangi akan menyebabkan peserta MM2H beralih ke negara lain yang turut bersaing menawarkan program hampir sama.
"Ini merupakan perniagaan persaraan. Mereka (ekspatriat) meneliti negara-negara yang lebih lestari untuk mereka diami.
"Dari satu sudut, memang benar mereka tidak melabur berbilion dolar seperti kilang atau rangkaian runcit, tetapi hakikatnya mereka adalah pelabur,” katanya.
Tambahnya lagi, 10 syarat baharu yang diperkenalkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilihat mampu mengimbangi aspek keselamatan dan ekonomi negara.
Antara syarat baharu yang ditambah adalah, keberadaan atau pemastautinan peserta di negara ini adalah sekurang-kurangnya 90 hari dalam setahun dan pendapatan luar negara peserta MM2H adalah sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini.
Selain itu, peserta MM2H perlu mempunyai pemilikan akaun simpanan sekurangnya-kurangnya RM1 juta dan pengeluaran maksimum sebanyak 50 peratus dibenarkan ke atas nilai prinsipal bagi tujuan pembelian hartanah, kesihatan dan pendidikan anak mereka serta usia pemohon yang layak.
Program itu turut dipecahkan kepada dua kategori iaitu 35 hingga 49 tahun dan 50 tahun ke atas.
Sementara itu, Pensyarah kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia Dr Nur Hafizah Mohammad Ismail berkata, pengaktifan semula program MM2H secara tidak langsung dapat melonjakkan semula aktiviti ekonomi yang sedikit lumpuh akibat Covid-19.
Jelasnya, keputusan itu merupakan langkah yang wajar, terutama ketika negara kini sedang beralih ke fasa endemik.
"Strategi kerajaan menerusi program ini adalah antara usaha yang baik untuk menyokong Pelan Pemulihan Negara,.
"Ia sekali gus merangsang ekonomi terutamanya pertumbuhan sektor pelaburan hartanah di Malaysia," ujarnya.
Tambah beliau, dia juga bersetuju dengan cadangan mengenai penglibatan bersepadu Jabatan Imigresen, KDN, MOTAC serta ejen-ejen pelancongan berdaftar yang dilantik, bagi memastikan butiran permohonan dan memantau aktiviti peserta dan tanggungan mereka sepanjang berada di Malaysia.
MM2H dilaksanakan sejak tahun 2002 mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan warga asing untuk menetap di negara ini, dan antara tarikan utama ialah kepelbagaian budaya.
Bagaimnapun, program itu terpaksa dihentikan sementara ekoran Covid-19 dan kini telah dibuka semula dengan tambahan syarat baharu pada Oktober.– Majoriti