Tambah jawatan Timbalan Speaker tiada dalam MoU kerajaan, pembangkang


  • Politik
  • Khamis, 07 Okt 2021

PN tidak menyokong sebarang cadangan pindaan perlembagaan bagi tujuan mewujudkan satu lagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

PINDAAN perlembagaan untuk menambah jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak termaktub dalam memorandum persefahaman antara blok kerajaan dan pembangkang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata pihaknya berpendirian bahawa persefahaman antara kerajaan dengan pembangkang melalui Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani pada 13 Sept lepas adalah terhad kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama.

Tambahnya, Majlis Tertinggi PN berpendirian bahawa tidak ada keperluan tersebut pada masa ini memandangkan dua Timbalan Yang Dipertua seperti yang termaktub dalam Perkara 57(1)(b) Perlembagaan Persekutuan adalah memadai bagi tujuan menjamin kelicinan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat.

"PN tidak menyokong sebarang cadangan pindaan perlembagaan bagi tujuan mewujudkan satu lagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

"Perkara 57(3) Perlembagaan Persekutuan juga membenarkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat untuk mempengerusikan Mesyuarat Dewan Rakyat pada masa ketiadaan Yang Dipertua dan Timbalan-Timbalannya.

"Justeru, tiada keperluan bagi Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menambah satu lagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada masa ini. Cadangan pindaan perlembagaan ini memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk menuntut pelaksanaannya,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan penangguhan pemilihan satu jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dikosongkan selepas Datuk Seri Azalina Othman Said meletakkan jawatan pada 23 Ogos lepas.

Penangguhan itu adalah bagi membolehkan pindaan Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan dibuat untuk menambah jumlah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada dua kepada tiga orang. — Majoriti