'Cadang PRN Melaka, taruh nyawa rakyat semata-mata nak rampas kuasa?'


  • Politik
  • Rabu, 06 Okt 2021

MUKHRIZ berkata, Pejuang sama sekali menolak tindakan Umno untuk mengadakan PRN Melaka. — The Star

PEMIMPIN Umno dan Perikatan Nasional (PN) dituntut untuk mengenepikan kepentingan peribadi dan parti serta menghentikan politik toksik, kata Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sebaliknya, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, Umno dan PN sebaiknya meletakkan kepentingan rakyat terkehadapan.

Katanya, kepimpinan Umno dan Perikatan Nasional (PN) juga sepatutnya peka dengan keadaan kadar jangkitan Covid-19 yang menular ke seluruh negara, sejurus selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Adakah nyawa rakyat Melaka dan Malaysia hendak dipertaruhkan semata-mata untuk mengekalkan atau merampas kuasa kerajaan negeri?

“Tidakkah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sudah menitahkan agar dikurangkan suhu politik dan diutamakan kesejahteraan rakyat?” soalnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mencadangkan PRN Melaka diadakan bagi memberi semula mandat kepada rakyat memilih kepimpinan negeri itu.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) bersetuju bahawa PRN Melaka akan menjadi ujian untuk membuktikan bahawa Umno tidak memerlukan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) untuk memenangi pilihan raya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 anggota.

Sebelum pembubaran DUN Melaka pada Isnin yang dicetuskan oleh konflik dalaman dalam kerajaan negeri BN-PN, Umno memegang kerusi terbanyak berbanding parti lain dengan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), sementara Bersatu hanya memiliki dua kerusi.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Sulaiman Md Ali hilang majoriti selepas empat Adun, termasuk dua dari Umno dan satu Bersatu, mengumumkan penarikan sokongan mereka.

Mengulas mengenai perkara itu, Mukhriz berkata, pihaknya sama sekali menolak tindakan Umno untuk mengadakan PRN Melaka.

Beliau berkata, pertelingkahan dalam Umno tidak sepatutnya mengheret seluruh rakyat Malaysia ke dalam kancah politik melalui pilihan raya yang tidak perlu, ketika Melaka baru bertukar ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Pada hari ini (Rabu) sahaja terdapat 9,380 kes baharu yang dilaporkan di seluruh negara. Dari jumlah itu, 200 kes adalah di Melaka.

“Sebaiknya keputusan untuk membubar Dewan Undangan Negeri Melaka dan mengadakan pilihan raya negeri ditarik balik atas kepentingan nyawa rakyat,” tegasnya. — Majoriti

Mukhriz, PRN Melaka, Umno