Suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 tidak wajib


  • Primer
  • Khamis, 07 Okt 2021

Khairy juga mengatakan bahawa status vaksinasi seseorang tidak akan terjejas sekiranya mereka tidak mendapat suntikan penggalak. — Bernama
KERAJAAN tidak akan mewajibkan orang ramai untuk mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, suntikan penggalak itu hanya akan ditawarkan kepada kumpulan yang dianggap berisiko tinggi seperti warga tua, atau pekerja kesihatan dan ia juga tidak diwajibkan.

"Kami tidak akan memaksa, tetapi kami sangat mengesyorkan agar kumpulan berisiko ini datang dan mendapatkan dos penggalak selepas enam bulan mereka menerima dos vaksinasi kedua.

"Ini kerana kami mendapati ada tindak balas imun yang semakin lemah dari vaksin yang telah diberikan," katanya pada sidang media di Hospital Kuala Lumpur pada Khamis.

Pada masa sama, Khairy juga mengatakan bahawa status vaksinasi seseorang tidak akan terjejas sekiranya mereka tidak mendapat suntikan penggalak.

"Sekiranya anda diberi vaksin sepenuhnya, status anda tetap sama. Ia tidak akan mempengaruhi status anda sebagai orang yang diberi vaksin sepenuhnya," jelas Khairy.

Terdahulu, Khairy memberitahu pemberian suntikan penggalak vaksin Covid-19 yang dijadual bermula bulan ini boleh menggunakan kaedah campuran vaksin berbeza atau heterologi.

Katanya, perkara itu disyorkan setelah kajian mengenai keselamatan campuran vaksin dilaksanakan. — Majoriti