Dewan Rakyat lulus Usul RMK12


  • Primer
  • Khamis, 07 Okt 2021

USUL tersebut diluluskan selepas dibincangkan selama empat hari bermula 28 September lalu. — Bernama
DEWAN Rakyat pada Khamis meluluskan Usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), rancangan pembangunan negara untuk tempoh 2021 hingga 2025.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, usul berkenaan diluluskan apabila menerima majoriti pungutan suara selepas dibahaskan selama empat hari mulai 28 September oleh 106 Ahli Parlimen dan disusuli dengan penggulungan oleh 27 kementerian terlibat selama tiga hari.

Antara isu yang dibangkitkan dalam sesi perbahasan adalah mengenai kesihatan, vaksin Covid-19, pembangunan Sabah dan Sarawak, kemiskinan, impak pasca Covid-19 serta pengurusan bekalan air negara.

Persidangan pada Khamis menyaksikan tiga kementerian meneruskan penggulungan perbahasan termasuk lima jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Pada 27 September lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan RMK12 yang akan menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara.

Mengikut takwim Dewan Rakyat, persidangan pada Isnin kelak akan diteruskan dengan Rang Undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan yang lain.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin. — Bernama