Tempoh 6 bulan antara syarat beri dos penggalak vaksin Pfizer


  • Primer
  • Jumaat, 08 Okt 2021

NOOR Hisham berkata, perkara itu diluluskan dalam mesyuarat PBKD kali ke-365 pada Jumaat.
PIHAK Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) memberi kelulusan bersyarat terhadap pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 Pfizer iaitu Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection (Comirnaty) iaitu sekurang-kurangnya enam bulan selepas dos kedua bagi golongan berumur 18 tahun dan ke atas, kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, perkara itu diluluskan dalam mesyuarat PBKD kali ke-365 pada Jumaat.

"Vaksin Comirnaty keluaran Pfizer Manufacturing Belgium NV (Belgium) dan BioNTech Manufacturing GmbH, Germany sebelum ini telah diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 12 tahun dan ke atas pada 15 Jun lepas.

"Ini merupakan vaksin Covid-19 pertama yang diluluskan bagi penggunaan dos penggalak di negara ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dr Noor Hisham berkata, maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin ini dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa, bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi vaksin tersebut kekal positif.

"KKM sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin Covid-19 di Malaysia, dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD," katanya. — Majoriti