Tayar lesap dalam tempoh 60 saat


  • Tular
  • Khamis, 07 Okt 2021

DUA suspek dirakam mencabut dan melarikan tayar sebuah motosikal yang dipercayai berlaku di Taman Selasih Fasa 2, Gombak. — Facebook

HANYA dalam tempoh seminit, tayar depan sebuah motosikal yang diletakkan di depan sebuah premis dipercayai di Taman Selasih Fasa 2, Gombak Selangor lesap dicuri dua individu bermotosikal.

Menerusi satu rakaman yang tular di media sosial, kejadian itu berlaku pada Selasa dan dua suspek yang terbabit dilihat seakan sudah memiliki kepakaran dan lengkap dengan peralatan.

Menerusi video berkenaan. dua suspek yang mengenakan helmet berwarna biru tidak menunggu lama dan terus melakukan 'kerja' dengan salah seorang daripadanya bersiap sedia menanti di atas motosikal.

Menerusi video berdurasi 46 saat itu, suspek hanya memerlukan tempoh kurang seminit untuk mengeluarkan tayar sebelum segera beredar dari lokasi kejadian.

Menerusi page Facebook Asal Gombak, kejadian itu dipercayai berlaku pada awal pagi dan menerusi catatan di rakaman itu, ia menunjukkan jam 5.15 pagi.

"Kecurian tayar motor di Taman Selasih. Awal pagi semalam berlaku satu kecurian tayar motosikal di sekitar Pusat Perdagangan Selaseh, Taman Selasih Fasa 2.

"Dalam masa seminit je lesap tayar depan. Berani betul ye diorang usung tayar macam tuh je. Sila sentiasa berwaspada warga Gombak," menurut kapsyen yang dimuatnaik pada video berkenaan.

Belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti

tular, motosikal, curi tayar