'Apa yang lawak dengan soalan Anwar?'


  • Tular
  • Khamis, 07 Okt 2021

REAKSI Hishammuddin yang hanya ketawa menimbulkan persoalan dalam kalangan pengguna media sosial. — Twitter

TINDAKAN Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mentertawakan soalan yang diajukan oleh ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi tanda tanya pengguna di media sosial Twitter.

Pemilik akaun, zareens (@ZareenSejahan) membuat satu hantaran yang mempersoalkan perkara itu beserta klip video kejadian itu semasa sidang Parlimen baru-baru ini.

Dalam status berkenaan, Zareens berkongsi tentang soalan yang diajukan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat itu kepada Hishammuddin berhubung pembinaan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) dan pembelian enam helikopter MD530G.

Zareens dalam ciapannya mendakwa Hishammuddin gagal menjawab soalan yang dikemukakan Anwar dan mempersoalkan kos kontrak pembelian aset tentera itu yang bernilai RM9 bilion.

"By the way, betul ke kos kontrak dengan LCS RM9 bilion? Tapi kapal tak sampai?" soalnya.

Anwar pada sidang Parlimen itu meminta Hishammuddin supaya memberi jawapan tentang perkembangan dan perincian berhubung perkara berkenaan yang pernah ditanya semasa sesi ucapan.

"Minta soalan yang saya tanya semasa ucapan juga agak terperinci, berapa kosnya, apakah proses tender diikuti, kalau yang lama dikaji, sebut begitu.

"Kemudian yang sekarang yang diluluskan baru-baru ini, bagaimana kedudukannya umpamanya, itu yang saya nak," kata Anwar.

Bagaimanapun, soalan itu tidak dijawab secara lisan oleh Hishammuddin memandangkan Datuk Seri Azalina Othman Said yang mempengerusikan sidang Parlimen ketika itu meminta beliau membuat jawapan bertulis kepada Anwar.

Reaksi Hishammuddin yang hanya ketawa pada hujung video klip itu menimbulkan persoalan tentang apa yang lawak dengan persoalan Anwar itu.

Video berkenaan mendapat perhatian warga netizen yang turut tertanya-tanya tentang reaksi sengih dan tawa Hishammuddin.

Ia telah ditonton lebih 104,000 kali dan mendapat lebih 2,900 tanda suka serta dikongsi semula sebanyak lebih 1,800 kali.

Ada yang mendakwa Hishammuddin berbuat demikian kerana ingin mengelak daripada menjawab soalan berkenaan.

Bagaimanapun, ada pengguna Twitter berkata Hishammuddin tidak perlu menjawab soalan itu secara umum kerana ia melibatkan soal rahsia ketenteraan negara.

Pada Selasa, Hishammuddin Hussein memberitahu Dewan Rakyat bahawa sehingga 15 September 2021 tahap kemajuan projek pembinaan kapal tempur pesisir paling moden dalam inventori TLDM itu telah mencapai sebanyak 57.05 peratus.

Pembinaan kapal-kapal tempur TLDM itu katanya telah mengalami kelewatan sebanyak 38.89 peratus kerana jikalau mengikut perancangan kerja asal, kemajuan kerja-kerja kapal itu pembinaan sepatutnya sudah mencapai 95.94 peratus.

Diatas sebab kelewatan itu juga, kerajaan telah mengenakan denda (penalti) atas kelewatan itu sebanyak RM80.6 juta,” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada 5 Oktober lalu. — Majoriti

Parlimen, Anwar, Hishamuddin, ketawa, LCS, Helikopter