PRN perlu dielakkan bagi tempoh enam bulan


  • Massa
  • Khamis, 07 Okt 2021

PRN Melaka disarankan untuk ditangguhkan kerana negara ini masih berada dalam fasa berwaspada. —The Star

PILIHAN Raya Negeri (PRN) ketika ini perlu dielakkan serta ditangguhkan bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan akan datang, kata Prof Madya Dr Malina Osman.

Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, hal ini kerana negara ini masih berada dalam fasa berwaspada yang memerlukan komitmen semua pihak untuk terus menurunkan angka jangkitan virus Covid-19.

Pada masa ini, katanya, indikator terlibat seperti kes baharu, kes aktif, individu yang dimasukkan ke pusat kuarantin, wad dan unit rawatan rapi (ICU) serta angka kematian terus menunjukkan pola penurunan.

“Namun, jumlah kes aktif di seluruh negara masih di paras melebihi 100,000 dan pada masa ini terdapat 138,000 kes, manakala R naught masih tinggi iaitu berada sekitar 0.85 hingga 0.9,” katanya.

MalinaOsman

Dr Malina berkata, masih terdapat negeri-negeri jauh ketinggalan menghampiri 90 peratus penduduk divaksinasi.

Tambahnya, meskipun liputan vaksin menghampiri 90 peratus, namun terdapat negeri-negeri yang masih jauh ketinggalan dari angka liputan berkenaan.

“Dan dalam masa yang sama berdepan pula dengan ancaman varian Delta dan VOCs (varian membimbangkan) yang lain,” jelasnya.

Justeru, katanya, tumpuan ketika ini perlu ditekankan kepada manfaat dan pemulihan aktiviti ekonomi rakyat dan bukan kepada usaha menyahstabilkan kepimpinan sehingga mengakibatkan pengurusan dan tadbir urus terganggu.

“Sehubungan dengan itu, kita perlu memastikan persekitaran terus selamat bagi mengelakkan sebarang potensi lonjakan kes yang mungkin akan menjejaskan sekali lagi sistem perkhidmatan kesihatan kita,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Selasa menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14 dan satu PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran itu.

Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum itu mengumumkan DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober setelah dipersetujui Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam.

Ia susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sementara itu, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, sekiranya PRN Melaka diadakan, risiko jangkitan Covid-19 tetap ada meskipun seseorang individu telah mendapat suntikan vaksin dan kes jangkitan semasa rendah.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia itu berkata, perkara itu perlu dilihat semula dengan mengambil pengajaran daripada PRN Sabah pada tahun lalu.

Maka, katanya, pakar-pakar kesihatan serta rakyat berharap supaya PRN Melaka dielakkan, sekiranya tidak mahu rakyat menjadi mangsa pada masa akan datang.

th (3)

Dr Zainal Ariffin berkata, sekiranya PRN Melaka masih perlu diadakan, maka SOP yang ketat juga perlu dilaksanakan.

“Kalau tak boleh elak dan masih mahukan PRN, kita kena ikut SOP (prosedur operasi standard) yang ketat, bukannya macam PRN Sabah.

“Ini bermakna dengan mengambil pendekatan baharu. Katakan masa kempen kita kurangkan tempoh masa.

“Kurangkan atau elakkan gathering (berkumpul) atau kempen face to face (bersemuka), house to house (rumah ke rumah), kontak fizikal dan perjumpaan.

“Kalau boleh gunakan gunakan media sosial dan digital print ketika berkempen,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga berharap kerajaan akan mengetatkan kemasukan orang luar seperti membataskan aktiviti rentas negeri atau daerah ketika kempen PRN Melaka.

“Sebab kita tahu penduduk di Melaka ni ramai dan negeri pun kecil jadi mesti berlaku jangkitan.

“Kalau kita buat juga risiko tetap ada, akhirnya rakyat jadi mangsa. Jadi, timbang-timbangkanlah,” katanya. —Majoriti

PRN Melaka, Pakar Kesihatan, Covid-19