Sempadan belum dibuka kepada pelancong – PM


  • Primer
  • Khamis, 07 Okt 2021

KERAJAAN meletakkan syarat mereka yang lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke negara ini.

PINTU sempadan negara tidak akan dibuka sewenang-wenangnya namun kemasukan pengembara bukan warganegara bergantung kepada maklumat situasi Covid-19 negara asal mereka.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut mengatakan bahawa kerajaan meletakkan syarat mereka yang lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke negara ini.

"Bagaimanapun, sempadan belum dibuka kepada pelancong.

"Kalau kita lihat dari segi sejarahnya walaupun kita buka pintu negara kita kepada warganegara asing untuk masuk tetapi perkembangan di negara asal pengembara itu juga diambil kira," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara pada Khamis.

Ismail Sabri menjawab soalan tambahan Senator Datuk Razali Idris sama ada kerajaan mempunyai pelan krisis pengurusan Covid-19 nasional sekiranya pintu sempadan dibuka, akan berlaku lonjakan kes dan penularan varian baharu seperti yang berlaku di negara lain.

Tambah beliau lagi, setiap tindakan kerajaan akan dirujuk menerusi pandangan dan cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang buat penilaian risiko.

"Oleh yang demikian kita tidak sewenang-wenangnya membuka sempadan negara," ujarnya. — Majoriti

sempadan negara, Ismail Sabri, KKM, Covid-19, MKN