Bebaskan politik, demokrasi negara daripada rasuah


  • Massa
  • Khamis, 07 Okt 2021

MELETAKKAN SPRM dan Jabatan Peguam Negara di bawah Parlimen mampu menghalang campur tangan ahli politik.

ARENA politik negara boleh dibebaskan daripada ancaman rasuah sekiranya tiada lagi 'tangan ghaib' yang mencampuri urusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

Langkah meletakkan SPRM dan Jabatan Peguam Negara di bawah Parlimen dilihat sebagai inisiatif yang terbaik untuk memastikan keadilan dalam petadbiran negara.

Ketua Gabungan Anti Rasuah Nasional (Garas), Dr Maimunah Sargeant berkata, fungsi dua institusi itu harus bersifat bebas tanpa ada kekangan dengan politik.

“Jika SPRM dan Jabatan Peguam Negara diletakkan di bawah Parlimen, tiada ahli politik dapat campur tangan dan kita dapat bersihkan politik negara daripada rasuah," katanya.

Malah dalam masa sama, Dr Maimunah juga kesal sikap ahli politik yang terlalu mengejar kekayaan dan kedudukan hingga terjebak dengan kesalahan rasuah.

Dalam masa sama, Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin menjelaskan rasuah nyata mengancam demokrasi yang dituntut di dalam Perlembagaan Malaysia.

Nurhayati merasakan gagalnya dua institusi itu dalam melaksanakan tangungjawab akan bermakna integritinya akan turut tergugat.

"Kebebasan institusi perlu dalam kita mengekalkan kedaulatan undang-undang yang menjadi dasar pentadbiran dan keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Gagalnya institusi SPRM dan Jabatan Peguam Negara bertindak secara bebas bererti ketelusan nilai integriti negara ini tergugat.

"Ini pasti akan meletakkan negara dan rakyat kepada risiko yang amat tinggi dan tidak mampu ditebus lagi," kata Nurhayati. — Sinar Harian