RM1 juta bantu usahawan belia Johor


  • Bizz
  • Khamis, 07 Okt 2021

BELIA berumur 18 tahun hingga 35 tahun, sama ada individu atau PKS boleh memohon geran sebanyak RM5,000, elaun dan latihan kemahiran melibatkan lapan modul melalui inisiatif itu.

USAHAWAN belia di Johor berpeluang untuk mendapatakn geran, elaun serta latihan kemahiran bernilai RM1 juta yang ditawarkan Iskandar Malaysia Youth Hub dengan tujuan membantu meringankan beban golongan yang terjejas akibat Covid-19.

Menurut Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim, belia berumur 18 tahun hingga 35 tahun, sama ada individu atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh memohon geran sebanyak RM5,000, elaun dan latihan kemahiran melibatkan lapan modul melalui inisiatif itu.

"Menerusi program 'Iskandar Malaysia Youth Entrepreneur Scheme' (IMYES) yang diperkenalkan sejajar dengan agenda kemakmuran ekonomi dan inklusif wilayah ini, kami yakin bantuan ini akan dapat menggalakkan semangat keusahawanan," katanya menerusi satu kenyataan sambil menambah insiatif itu diwujudkan bersempena Kempen Peringatan 15 tahun Iskandar Malaysia (IM15CC),

Tambahnya lagi selain itu, program itu mampu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia dan menjadi satu daripada komponen penting dalam menangani kesan pandemik Covid-19.

Jelas Ismail lagi, geran yang dipohon mestilah untuk kegunaan membeli mesin, peralatan, barang-barang mentah, pembelian kredit serta tujuan promosi dan pemasaran.

"Belia yang berminat perlu menghadiri sesi penerangan sebelum membuat permohonan dan hanya yang berjaya dalam permohonan akan diberi makluman.

"Malah, mereka perlu menghadiri lapan modul latihan sebelum menerima geran," katanya.

Program IMYES oleh Iskandar Youth Hub Sdn Bhd melalui dana Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) itu menyediakan latihan kemahiran termasuk dari segi keusahawanan, kewangan, penjualan dan pemasaran serta trend terkini dalam digitalisasi.

IMYES merupakan antara program di bawah inisiatif SECURE@IskandarMalaysia yang turut menawarkan pelbagai bantuan dari segi kewangan dan latihan antaranya kepada kumpulan B40, golongan rentan, pertanian bandar dan perniagaan.

Untuk maklumat lanjut, layari www.iskandarmalaysia.com.my/hab/imyes. — Majoriti