TNB mampu main peranan beri pulangan setimpal kepada rakyat.


  • Bizz
  • Khamis, 07 Okt 2021

TNB bertanggungjawab kepada para pemegang saham, lebih-lebih lagi kepada institusi-institusi pelabur yang pulangan kepada mereka akhirnya dinikmati oleh rakyat.

TENAGA Nasional Berhad (TNB) berupaya dalam memberikan pulangan dividen yang adil dan berpatutan kepada para pelabur dan pada masa sama memainkan peranan dalam memberikan pulangan setimpal kepada rakyat.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin yang turut memaklumkan bahawa pihaknya akan akan terus menyeimbangkan kepentingan industri dan melaksanakan perananya kepada rakyat menerusi institusi pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Katanya, TNB bertanggungjawab kepada para pemegang saham, lebih-lebih lagi kepada institusi-institusi pelabur yang pulangan kepada mereka akhirnya dinikmati oleh rakyat.

Pulangan itu dinikmati oleh pelabur termasuk GLIC antaranya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional.

"Bagi 2018 hingga 2020, TNB telah membayar dividen berjumlah RM9.9 bilion kepada para pemegang sahamnya dan RM7 bilion lagi kepada GLIC.

"Ini satu jumlah besar dan besar manfaatnya kepada rakyat,” katanya.

Tambahnya lagi, TNB akan terus mendukung pertumbuhan dan usaha pemulihan ekonomi negara.

Perkara itu akan dilaksanakan menerusi perbekalan elektrik berdaya harap, mencorak semula ekonomi melalui inisiatif transformasi industri tenaga serta membantu golongan sasaran yang memerlukan.

“Dalam senario ekonomi Malaysia yang masih dalam fasa pemulihan daripada cabaran wabak Covid-19, TNB perlu teguh dari segi kewangan bagi meneruskan usaha ini.

"Saya dimaklumkan TNB merupakan antara pihak swasta terawal tampil membantu kerajaan menangani Covid-19 dan menyumbang sejumlah RM21 bilion (2018-2020) kepada ekonomi dalam pelbagai bentuk termasuk dividen, kontrak kepada vendor, cukai, zakat, CSR dan bantuan Covid-19," ujarnya.

Jelasnya lagi, kedudukan kewangan TNB perlu kekal kukuh untuk membantu usaha kerajaan memulihkan ekonomi negara dan memberikan pulangan yang setimpal kepada para pemegang saham.

Hasan sebelum ini dilantik menjadi pengerusi TNB pada 1 Oktober lalu bagi menggantikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang dilantik menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar. — Majoriti

TNB, pelabur, dividen, saham, GLIC, rakyat