SPRM akan ambil keterangan Idris Haron


  • 112
  • Khamis, 07 Okt 2021

SPRM akan menghantar pegawai untuk menemui Idris Haron mendapatkan maklumat lanjut berhubung dakwaan berlakunya penyelewengan projek di Melaka - Bernama

BEKAS Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dijangka 'disoal siasat' oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlakunya penyelewengan projek di negeri itu.

SPRM melihat secara serius terhadap dakwaan berlakunya pembolotan projek ekonomi dan penipuan terhadap kerajaan persekutuan berkaitan royalti pasir di Melaka.

"Sehubungan dengan itu, mana-mana pihak yang memiliki maklumat atau bukti salah laku rasuah dan penyelewengan berhubung isu berkenaan diminta tampil untuk memberi kerjasama kepada SPRM.

"Ingin ditegaskan bahawa kegagalan untuk melaporkan mana-mana salah laku di bawah Akta SPRM merupakan satu kesalahan yang boleh didakwa mengikut Seksyen 25 Akta SPRM 2009.

"Dalam pada itu, SPRM juga akan menghantar pegawai untuk mengadakan perjumpaan dengan Idris Haron mendapatkan maklumat lanjut berhubung isu tersebut," kata SPRM menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, Idris tetap berkeras dengan pendiriannya menarik sokongan terhadap kerajaan negeri dan bertegas keputusannya itu adalah untuk menyelamatkan Umno daripada hilang kepercayaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

Katanya, beliau enggan menyokong kerajaan yang dilihat penuh dengan kemungkaran.

“Kalau Umno ini terus mempunyai pemimpin-pemimpin seperti yang ada pada hari ini, rakusnya diibaratkan makan itu tangan kanan dan kiri disuapkan ke mulut sambil mata menjeling lagi ke makanan lain di atas meja, yakni projek-projek ekonomi di negeri Melaka ini.

“Ribuan meter kubik pasir yang ditambak daripada tengah laut dibawa ke sini tapi diisytihar dengan jumlah yang rendah, menipu kerajaan Persekutuan dalam bentuk royalti, semuanya berlaku dengan jelas," katanya. — Majoriti

idris haron, melaka, sprm