RMK12: Institut Penyakit Berjangkit Malaysia dibina tahun depan


  • Primer
  • Isnin, 27 Sep 2021

ISMIAL turut memberitahu bahawa kerajaan juga akan mengkaji semula keberkesanan sistem kesihatan sedia ada. — The Star

KERAJAAN akan membina sebuah Institut Penyakit Berjangkit Malaysia di Bandar Enstek, Negeri Sembilan pada tahun depan.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Parlimen, Kuala Lumpur pada Isnin.

Kata beliau, institut itu ditubuhkan bagi mencegah penyakit, ketidakupayaan dan kematian yang disebabkan oleh penyakit-penyakit berjangkit.

"Kerajaan juga akan mengkaji semula keberkesanan sistem kesihatan sedia ada.

"Dasar kesihatan negara juga akan dirangka bagi meningkatkan kesiapsiagaan mengurus penyakit berjangkit serta krisis kesihatan,” katanya.

Tambah Ismail lagi, Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara sedang dimuktamadkan bagi memastikan Malaysia mampu menghasilkan vaksin sendiri.

Jelas beliau lagi, ia juga pada masa sama merupakan persediaan bagi menghadapi sebarang pandemik pada masa akan datang.

"Dalam situasi pandemik Covid-19, rakyat menaruh harapan yang tinggi kepada kerajaan dan kerajaan akan sentiasa mencari jalan yang terbaik memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia dalam pelbagai aspek, terutama penjagaan kesihatan dan penyediaan kediaman yang berkualiti.

"Kerajaan kekal komited bagi memperkukuh sistem penjagaan kesihatan demi memastikan rakyat sihat dan produktif,” ujarnya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut memgumumkan kerajaan juga telah mengenal pasti langkah proaktif meningkatkan kesiapsiagaan hospital.

Langkah tersebut untuk mencapai nisbah 2.06 katil hospital bagi setiap seribu penduduk menjelang tahun 2025.

"Bagi tujuan itu, kerajaan akan turut membangunkan fasiliti kesihatan baharu, sebagai tambahan kepada 12 hospital yang sedang dibina di seluruh negara dan dijangka siap dalam tempoh RMK12.

"Kelengkapan dan peralatan kesihatan, termasuk keperluan unit rawatan rapi (ICU) akan ditambah dan dalam usaha untuk merapatkan jurang perbezaan fasiliti kesihatan bandar dan luar bandar, kerajaan akan membina dan menaik taraf klinik-klinik kesihatan di seluruh negara,” jelasnya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram