KESEDARAN kerajaan mengenai isu kesenjangan pendapatan antara kaum dan daerah yang semakin melebar menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) wajar dipuji.
Perkara itu dinayatakan Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Abdul Halim Husin yang memberitahu, fokus kerajaan berhubung isu berkenaan dalam RMK-12 perlu dilihat dari sudut positif meskipun wujud sedikit kerisauan akibat polemik politik yang berpanjangan.
Antara fokus yang ditekankan adalah isu gaji rendah, Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), pembangunan Sabah dan Sarawak, sasaran kemajuan dan pembangunan ekonomi bumiputera, dasar ekuiti bumiputera, serta penguasaan digital dan Revolusi Industri Keempat.
ABDUL Halim menyarankan supaya satu kajian perlu dilakukan untuk menentukan tahap pendapatan kehidupan wajar mengikut negeri. — Agensi
Jelasnya, MTEM berharap kerajaan melihat semula dasar berkaitan pekerja asing.
"Ini kerana pengurangan pekerja asing pasca pandemik ini memberi kesan kepada peluang pekerjaan rakyat B40 serta peningkatan gaji dan upah.
"Bagaimanapun, pengecualian boleh dilakukan untuk sektor perladangan dan pembinaan," katanya.
Tambahnya lagi, kerajaan juga wajar mengadakan sasaran purata gaji penerima pendapatan kumpulan B40 dan M40.
Kataya, hal ini berikutan fenomena gaji rendah dan tidak setimpal berlaku terhadap kedua-dua kumpulan ini.
"Sasaran sepatutnya adalah gaji penengah, dan bukan gaji purata memandangkan nilai gaji purata yang terjejas berikutan gaji golongan eksekutif atasan yang jauh lebih tinggi, sekali gus tidak menggambarkan keadaan sebenar.
"Gaji penengah Malaysia adalah RM2,109 pada 2020. Ini bermakna 50 peratus daripada jumlah pekerja 15 juta memperoleh gaji di bawah RM2,109," ujarya.
Tambahnya lagi, satu kajian perlu dilakukan untuk menentukan tahap pendapatan kehidupan wajar mengikut negeri yang perlu dicapai menjelang 2025.
Jelasnya lagi, wawasan Kemakmuran Bersama telah menentukan sasaran purata pendapatan kehidupan wajar sebanyak RM5,800 sebulan pada 2030 dan matlamat ini tidak boleh diambil ringan.
"MTEM turut berharap kerajaan dapat menetapkan penanda aras yang lebih bermakna dalam penetapan semula ekonomi untuk menangani kesan pandemik.
"Misalnya, hospital dan capaian Internet, peruntukan mengenai hasrat membina 500,000 rumah mampu milik dan dasar pelaburan asing agar memberi pulangan yang menguntungkan negara," hurainya lagi.
Abdul Halim turut menambah, cukai progresif juga perlu dipelbagaikan dengan cukai ke atas golongan berpendapatan tinggi perlu dipertingkatkan.
"Kerajaan boleh memperkenalkan instrumen cukai baharu seperti cukai kekayaan, cukai keuntungan modal dan cukai dividen.
"Apa yang penting perbincangan berkenaan Akta Tanggungjawab Fiskal untuk Bajet 2022 tidak menjurus kepada menyempitkan ruang fiskal ke arah langkah berjimat cermat," jelasnya.
Ulasnya lagi, dalam rangka empat hingga lima tahun RMK12, peningkatan hasil kerajaan amatlah wajar dan perlu melalui cukai ke arah kemampuan perbelanjaan untuk rakyat pada nisbah lima hingga enam peratus. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram