RAKYAT Melaka harus memastikan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menyebabkan krisis politik Melaka supaya tidak dipilih lagi pada pilihan raya akan datang, kata pakar politik.
Felow Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Jeniri Amir menyifatkan tindakan kesemua Adun yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, sebagai tidak memikirkan nyawa rakyat dan hanya mahu mengejar kuasa.
Sambil mengakui akan ada gerakan untuk memboikot pilihan raya yang mungkin diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN itu, beliau berkata, perbuatan itu tidak berbaloi untuk dilakukan kerana mereka yang mencetuskan polemik ini akan terus berkuasa.
"Apa yang perlu dilakukan oleh rakyat Melaka adalah memboikot Adun-Adun yang mencipta masalah ini dengan 'mengajar' mereka melalui kertas undi.
"Memang mulut mereka kata apa yang mereka lakukan semuanya demi kepentingan rakyat tetapi itu semua bohong. Semuanya hanya disebabkan oleh ego dan ketaksuban terhadap kuasa.
"Mereka lupa pesanan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini yang menitahkan supaya pemimpin politik untuk fokus membantu rakyat dan tidak mencetuskan sebarang polemik dalam tempoh ini," tegasnya.
Profesor Dr Jeniri Amir
Tambah Jeniri, mereka juga tidak menghormati Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang telah dipersetujui antara kerajaan dan pembangkang sebelum ini.
Sementara itu, beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai tugas yang berat bagi meyakinkan rakyat untuk keluar mengundi jika pilihan raya diadakan dalam masa terdekat ini.
Jelasnya, rakyat masih ingat kesan Pilihan Raya Negeri Sabah yang diadakan pada 26 September tahun lalu yang menyebabkan punca kenaikan mendadak kes Covid-19 di negara ini.
Justeru, kata Jeniri, SPR harus memainkan peranan bagi memastikan situasi sama tidak berulang lagi di Melaka.
"SPR boleh belajar daripada negara luar yang berjaya mengadakan pilihan raya ketika musim Covid-19 tanpa menghadapi kenaikan kes seperti di negara jiran Singapura," katanya. — Majoriti