Isytihar darurat tangguh PRN Melaka jika khuatir Covid-19


  • Massa
  • Rabu, 06 Okt 2021

SHAMRAHAYU berkata, di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong, darurat boleh diisytihar di Melaka untuk mengelak daripada penggunaan perlembagaan secara normal. —Kosmo

SEKIRANYA terdapat kebimbangan terhadap jangkitan pandemik Covid-19 negeri atau di seluruh negara, proklamasi darurat boleh diisytiharkan di seluruh Melaka bertujuan untuk menangguhkan pilihan raya negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pakar perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, walaupun PRN Melaka perlu diadakan dalam masa 60 hari selepas pembubaran DUN berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, namun di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong, darurat boleh diisytihar bagi kawasan berkenaan untuk mengelak daripada penggunaan perlembagaan secara normal.

Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka menyatakan satu pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.

"....Ia sama seperti mana yang dibuat di Sarawak juga beberapa lokasi seperti Batu Sapi, Bugaya (kedua-duanya di Sabah) dan Grik, Perak dan bidang kuasa itu terletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Pada 31 Julai, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di seluruh Sarawak berkuat kuasa 2 Ogos sehingga 2 Februari 2022, sekali gus menggantung PRN daripada diadakan dalam tempoh berkenaan. — Bernama